KUALA LUMPUR: United Kingdom (UK) berhasrat untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam sektor tenaga, terutamanya dalam pembangunan hab nuklear awam bagi rantau Asia Tenggara, kata Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Ajay Sharma.
Beliau berkata semua pihak harus mempertimbangkan untuk membangunkan tenaga sedemikian supaya Malaysia dan rantau ini lebih bersedia sekiranya krisis tenaga global semasa berulang pada masa hadapan.
“Ini (nuklear awam) akan membantu (menangani krisis tenaga). Anda tidak akan terlalu bergantung kepada minyak dan gas yang datang dari Asia Barat jika anda mempunyai tenaga nuklear awam sendiri,” katanya kepada Bernama selepas menyampaikan ucapan pada English-Speaking Union Malaysia (ESUM) Tea Talk 2026 mengenai Bahasa dan Diplomasi di sini pada Khamis.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengerusi ESUM Tunku Dara Tunku Naquiah dan ahli majlis ESUM Datuk Seri Azman Ujang.
Menurut Sharma, beliau mahu UK bekerjasama dengan Malaysia dalam pembangunan reaktor modular kecil, yang boleh digunakan bukan sahaja untuk menyediakan tenaga bagi industri Malaysia tetapi juga membolehkan negara ini menjadi hab pengeluaran bagi reaktor berkenaan di rantau ini.
“Saya melihat kerjasama Malaysia-UK dalam nuklear awam sebagai sesuatu yang bermanfaat bukan sahaja untuk keperluan tenaga dan pembangunan industri Malaysia, malah dalam menyokong pembangunan ekonomi dan keperluan tenaga rantau ASEAN.
“Malaysia boleh menjadi hab bagi ASEAN dalam nuklear awam,” katanya sambil menambah bahawa rundingan nuklear awam antara UK dan Malaysia masih di peringkat awal.
“Tiada keputusan telah diambil oleh mana-mana pihak, tetapi ini adalah sesuatu yang kami (UK) mahu laksanakan bersama Malaysia,” tambahnya.
-- BERNAMA