Skip to main content

Malaysia

Tun Mahathir ucap Selamat Hari Raya, harap rakyat sambut dalam keamanan

Tun Mahathir, Tun Siti Hasmah
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam di Malaysia serta berharap perayaan itu dapat disambut dalam suasana aman dan sejahtera.

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam di Malaysia serta berharap perayaan itu dapat disambut dalam suasana aman dan sejahtera.

Ucapan ringkas itu disampaikan selepas beliau diberi taklimat berhubung kerja-kerja naik taraf dan pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad, dan kemudiannya dikongsi menerusi platform media sosial beliau.

Dalam ucapan berkenaan, Tun Dr Mahathir mendoakan agar rakyat Malaysia yang beragama Islam dapat menyambut Aidilfitri dengan penuh ketenangan, keselamatan dan keharmonian.

“Assalamualaikum rakyat Malaysia beragama Islam. Saya ingin mengucap selamat hari raya kepada semua orang Islam di Malaysia ini. Saya harap mereka dapat merayakan Hari Raya ini dalam keadaan aman, dan sejahtera. Assalamualaikum, Selamat Hari Raya,” katanya .

Dr Mahathir turut menzahirkan harapan supaya perayaan itu menjadi detik memperkukuh perpaduan serta kesejahteraan dalam kalangan rakyat pelbagai latar belakang.

Bangunan Sultan Abdul Samad yang terletak di ibu negara merupakan antara mercu tanda bersejarah negara, dan kerja-kerja naik tarafnya dilaksanakan bagi memastikan kelestarian warisan kebangsaan terus terpelihara.

Ucapan tersebut menerima reaksi positif warganet yang membalas dengan ucapan Aidilfitri serta doa kesejahteraan buat kedua-dua Dr Mahathir dan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Ali.

Awal Januari tahun ini (6 Jan 2026), Dr Mahathir dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) selepas terjatuh di kediaman dan disahkan patah bahagian pinggul kanan. 

Menurut keluarga, keadaannya serius tetapi tidak mengancam nyawa, dan Dr Mahathir dirawat dan dipantau rapi selama beberapa minggu. 

Sebulan kemudian, pada 6 Feb 2026, pasukan perubatan memaklumkan Tun dibenarkan “home leave” secara berperingkat, sekali gus menggambarkan tanda kemajuan pemulihan dan respons positif terhadap fisioterapi, sebelum kembali ke IJN untuk rawatan susulan. 

Must Watch Video