Skip to main content

Malaysia

Tourism Malaysia rai ketibaan pelawat sempena Kaamatan, Gawai

KOTA KINABALU, 31 Mei -- Penari kebudayaan suku kaum Murut Keningau dengan tarian tradisi sempena Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) di Penampang hari ini.  --fotoBERNAMA
Tourism Malaysia menyemarakkan sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai dengan meraikan ketibaan pelawat domestik serta antarabangsa di tiga lapangan terbang utama negara bersempena dengan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026). - BERNAMA

KUALA LUMPUR: Tourism Malaysia menyemarakkan sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai dengan meraikan ketibaan pelawat domestik serta antarabangsa di tiga lapangan terbang utama negara bersempena dengan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).

Tourism Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan program sambutan selama tiga hari itu bermula di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Sabah semalam, diikuti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 hari ini, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Sarawak program itu dijadualkan diadakan esok.

Inisiatif menerusi kerjasama strategik bersama-sama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) itu bertujuan mengetengahkan keunikan budaya serta tradisi masyarakat Sabah dan Sarawak sebagai antara tarikan utama pelancongan negara selaras dengan aspirasi TMM2026.

“Para pelawat yang tiba di balai ketibaan disambut mesra dengan cenderamata istimewa serta disajikan dengan juadah tradisional kegemaran ramai, iaitu dodol sebagai simbol hospitaliti rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan budaya,” menurut kenyataan itu.

Majlis sambutan di KLIA Terminal 1 dihadiri Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Shaharuddin Abu Sohot, Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia Wizani Rosmin dan Presiden Persatuan Hotel Malaysia Datin Christina Toh selain wakil MAHB, syarikat penerbangan serta penggiat industri pelancongan tempatan.

Bersempena dengan sambutan itu juga, satu program Mega Familiarisation (Mega Fam) dilaksanakan dari 29 Mei hingga 5 Jun melibatkan 15 wakil media dan pempengaruh dari beberapa negara termasuk Filipina, Vietnam, China, Korea Selatan dan India.

"Program selama lapan hari itu bertujuan mempromosikan keunikan budaya dan warisan kedua-dua perayaan berkenaan, selain mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan budaya," menurut kenyataan itu. 

Dalam perkembangan lain, Tourism Malaysia memaklumkan jumlah ketibaan pelawat antarabangsa menunjukkan trend positif apabila meningkat 5.4 peratus kepada 10.6 juta orang bagi tempoh hingga Mac tahun ini, berbanding 10.1 juta dalam tempoh sama tahun lepas.

Prestasi itu mencerminkan momentum positif sektor pelancongan negara bersempena dengan pelaksanaan TMM2026 dan usaha berterusan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan berasaskan budaya pada peringkat antarabangsa.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement