Skip to main content

Malaysia

Timbalan Menteri Luar nafi tipu kelulusan akademik

61549357573_Marzuki.jpg
Timbalan Menteri Luar, Datuk  Marzuki Yahya sedia mengemukakan bukti bagi mengesahkan beliau graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Cambridge, England.

Sehubungan itu, Marzuki yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan yang beliau menipu latar belakang pendidikannya seperti mana didakwa segelintir pihak.

Marzuki, dalam masa sama menegaskan, beliau enggan melayan dakwaan tidak berasas seperti itu dan  menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat perkara tersebut.

Malah beliau turut menyifatkan dakwaan dirinya menipu latar belakang pendidikannya sebagai permainan politik pihak tertentu yang mahu menjejaskan reputasinya.

"Bagi saya ini adalah satu daripada permainan politik. Terserah kepada polis, yang penting saya jalankan tugas saya dengan baik tanpa masalah," kata Marzuki kepada wartawan selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Menteri Kewangan bersama Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang di  Bayan Lepas, Pulau Pinang pada Selasa.

Menurut Marzuki lagi, dakwaan sedemikian merupakan perkara biasa dalam dunia politik dan beliau secara peribadi sudah terbiasa ditohmah dengan pelbagai tuduhan tidak berasas.

Namun begitu, Marzuki berkata, pihaknya akan mencari penyelesaian terbaik, sekiranya isu berkenaan berlarutan.

Pada masa ini, beliau mahu menumpukan perhatian kepada tugasnya sebagai Timbalan Menteri Luar dan gerak kerja parti menjelang Pilihanraya Kecil  (PRK) Dun Semenyih.

Pada Isnin, seorang aktivis politik Muhsin Abdul Latheef menggesa pihak polis menyiasat dakwaan mengenai Marzuki  yang didakwa  memiliki Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Cambridge.

Ia susulan pendedahan seorang warganet dikenali Zulfahan Pagon menerusi akaun Facebook  yang mendakwa program PJJ dari Universiti Cambridge yang diikuti Marzuki itu tidak wujud.

Must Watch Video