MERBOK: Mayat tiga beranak ditemukan dalam keadaan mengerikan di sebuah rumah di Kampung Belau, di sini, awal pagi tadi.
Menurut sumber, mayat suami isteri masing-masing berusia 65 dan 53 tahun ditemui dalam keadaan tidak sempurna, dengan bahagian kepala terpisah daripada badan.
Mayat kedua-duanya dibalut menggunakan karpet dan diletakkan di bahagian dapur sementara mayat anak lelaki pasangan itu yang berusia 29 tahun pula ditemui di sebuah bilik di tingkat atas rumah dua tingkat berkenaan dengan kesan kelar pada leher.
Polis percaya pasangan suami isteri tersebut telah meninggal dunia lebih 48 jam berdasarkan keadaan mayat yang sudah membengkak dan berbau.
Penemuan itu dibuat selepas anggota polis bersama penduduk kampung melancarkan gerakan mencari berikutan pasangan berkenaan gagal dihubungi sejak Isnin lalu.
Difahamkan, lelaki warga emas itu mencari rezeki dengan melakukan kerja-kerja kampung manakala isterinya merupakan tukang cuci di sebuah sekolah di Sungai Petani.
Pasangan berkenaan berkahwin beberapa tahun lalu selepas melalui perceraian sebelum ini dan masing‑masing mempunyai seorang anak lelaki.
Mereka tinggal bersama anak lelaki wanita itu yang merupakan bekas pelajar sebuah universiti di Pulau Pinang namun tidak menamatkan pengajian akibat masalah kemurungan.
Anak lelaki kepada si mati lelaki pula bekerja sebagai anggota tentera di Kuala Lumpur.
Kesemua mayat dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk proses bedah siasat.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan mengesahkan kejadian dan memaklumkan bahawa sidang media akan diadakan tengah hari ini.
Beliau turut memberitahu, polis kini sedang melakukan siasatan.