PERJALANAN hidup Mohd Daud Hamdan bukanlah laluan yang singkat atau mudah. Bermula sebagai pekerja kilang yang terkesan dengan krisis inflasi pada akhir 1970-an, lelaki asal Kampung Rim, Jasin, Melaka ini akhirnya menyarung seragam polis pada 1978, menjadi satu titik perubahan besar dalam hidupnya.
Dalam kesibukan bertugas sebagai anggota keselamatan, niat untuk menunaikan ibadat haji tidak pernah terpadam, meskipun simpanan awalnya di Tabung Haji ketika itu hanyalah sekitar RM33.
“Bukan tak simpan, simpan… tapi kerja, tekanan kerja, sibuk urus hidup (komitmen),” katanya sambil tersenyum.
Kesedaran untuk benar-benar mendaftar haji muncul selepas satu peristiwa yang masih segar dalam ingatan. Ketika bertugas di Sabah, satu khutbah Jumaat tentang kepentingan caruman Tabung Haji menyentuh jauh ke dalam jiwanya.
“Terkejut betul masa ustaz tu sebut. Dari situ terus saya fikir, tak boleh lengah lagi,” katanya.
Dia akhirnya mendaftar haji sekitar 2004 atau 2005, tanpa menyangka tempoh menunggu akan memakan masa lebih 20 tahun.
Kini berusia 72 tahun, Mohd Daud mengakui perasaan syukur bercampur lega apabila namanya akhirnya terpilih.
“Bila dapat tawaran, rasa selamat. Umur dah meningkat, kita tak tahu bila Allah tarik nyawa balik,” katanya jujur.
Pergerakannya mungkin tidak sekuat dahulu dan selera makan semakin kurang, namun tekadnya tetap utuh.
“Tak kuat sangat, tapi cukup. Kita jalan perlahan-lahan, ikut kemampuan,” katanya.
Yang lebih meruntun hati, perjalanan haji ini dilalui sendirian, tanpa isteri tercinta, Allahyarham Maimon Mohamad, yang telah meninggal dunia lima tahun lalu akibat komplikasi tekanan darah tinggi dan asma.
“Bila dah bersama lebih 30 tahun, bila dia tiada… jiwa tu rasa kosong sikit,” katanya perlahan.
Mohd Daud mengakui, rindu itu bukan mudah diisi. Jika dahulu segala persiapan harian diurus bersama, kini semuanya dilakukan sendiri daripada memasak, membasuh pakaian hingga urusan harian lain.
Sebahagian simpanan yang dikumpul dahulu turut digunakan Mohd Daud untuk melaksanakan badal haji buat arwah isterinya, sebagai tanda kasih yang tidak pernah terhenti.
“Itu tanggungjawab. Kita buat apa yang termampu,” katanya.
Dia dikurniakan empat orang anak, dua lelaki dan dua perempuan, yang kini menetap di pelbagai lokasi termasuk Sabah dan Semenanjung, dan mereka sentiasa berhubung bagi memastikan keadaannya di Tanah Suci sentiasa terjaga.
Bagi Mohd Daud, haji ini bukan sekadar memenuhi rukun Islam kelima, tetapi penutup sebuah perjalanan panjang - daripada tekanan hidup, kesibukan tugas, kehilangan pasangan hidup, hingga akhirnya berdiri di Tanah Haram sebagai tetamu Allah.
“Alhamdulillah… cukuplah. Allah jemput juga walaupun lambat,” katanya