Skip to main content

Malaysia

Murid tahun enam meninggal dunia: JPN Selangor zahir takziah, urus bantuan kepada keluarga

BERNAMA
Mangsa berusia 12 tahun disahkan meninggal dunia di HTAR selepas dibawa untuk mendapatkan rawatan selepas pengsan ketika sedang mengikuti perhimpunan di sebuah sekolah di Kapar, Klang. - Gambar fail

SHAH ALAM: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor merakamkan ucapan takziah kepada keluarga murid tahun enam di sebuah sekolah di Klang yang meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Jumaat lepas. 

JPN Selangor dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya sedang menguruskan bantuan terbaik kepada keluarga murid berkenaan serta memastikan aspek kebajikan dan kesejahteraan diberi perhatian.

“JPN Selangor merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Muhammad Fahim Darwisy Yusmafendi yang tidak sedarkan diri ketika sesi bacaan Yasin dijalankan di sekolah, dan meninggal dunia di hospital.

“Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan seluruh keluarga diberi kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi ujian berat ini,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S. Vijaya Rao berkata mangsa berusia 12 tahun disahkan meninggal dunia di HTAR selepas dibawa untuk mendapatkan rawatan susulan pengsan ketika sedang mengikuti perhimpunan di sebuah sekolah di Kapar, Klang. 

Vijaya Rao berkata hasil bedah siasat mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan, dan punca kematian belum dapat disahkan kerana masih menunggu laporan lengkap makmal serta kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video