Skip to main content

Malaysia

Tiada PO, surat pelantikan dikeluarkan melalui saluran tidak rasmi - JSM

JSM Department of Standards Malaysia Logo
JSM menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak terperdaya dengan sebarang dokumen mencurigakan yang jelas mengandungi unsur penipuan.

PUTRAJAYA: Jabatan Standard Malaysia (JSM) tidak pernah mengeluarkan sebarang dokumen pesanan kerajaan (PO) atau surat pelantikan melalui saluran tidak rasmi.

Jabatan itu dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan semua urusan perolehan rasmi JSM hanya dilaksanakan secara sah dan telus menerusi sistem ePerolehan Kerajaan Malaysia mengikut tatacara kewangan yang telah ditetapkan.

"JSM menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak terperdaya dengan sebarang dokumen mencurigakan yang jelas mengandungi unsur penipuan serta penyamaran identiti pegawai JSM. 

"Sekiranya terdapat sebarang keraguan mengenai ketulenan dokumen, sebarang komunikasi atau tawaran yang didakwa atas nama JSM, semakan pengesahan hendaklah dibuat terus melalui saluran rasmi jabatan sebelum sebarang transaksi dilakukan bagi mengelakkan implikasi kerugian," menurut kenyataan itu.

Merujuk kepada penularan dokumen PO dan surat pelantikan vendor palsu melalui saluran tidak rasmi yang didakwa dikeluarkan oleh JSM, jabatan itu menegaskan pihaknya memandang serius isu itu dan tindakan undang-undang sewajarnya sedang diambil bersama pihak berkuasa.

"JSM komited dalam memastikan keselamatan, integriti dan ketelusan sepenuhnya dalam setiap urusan pentadbiran," menurut kenyataan itu.

JSM sebelum ini telah menguar-uarkan perkara itu menerusi Facebook rasminya dan menerima makluman berkaitan dua cubaan penipuan melibatkan PO, namun semakan syarikat berkenaan dengan JSM mendapati PO tersebut adalah palsu.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement