Skip to main content

Sukan

Selangor FC tewas tipis kepada Buriram United pada final pertama ACC

PETALING JAYA, 20 Mei -- Pemain Selangor FC, Mohamad Faisal Abdul Halim diasak pemain Buriram United pada perlawanan final 1 kejuaraan kelab ASEAN Piala Shopee 2025/26 diantara Selangor FC menentang Buriram United di stadium MBPJ hari ini.  Keputusan penuh Selangor FC 0 Buriram United 1.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Pemain Selangor FC, Mohamad Faisal Abdul Halim diasak pemain Buriram United pada perlawanan final 1 kejuaraan kelab ASEAN Piala Shopee 2025/26 diantara Selangor FC menentang Buriram United di stadium MBPJ. - Foto BERNAMA

PETALING JAYA: Juara bertahan dari Thailand, Buriram United membawa balik bekalan satu gol ke laman sendiri selepas menewaskan Selangor FC 1-0 pada aksi final pertama Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) 2025-2026 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini malam tadi.

Buriram United terlebih dahulu menguji benteng tuan rumah seawal minit keenam, namun peluang keemasan Suphanat Mueanta gagal dimanfaatkan apabila percubaan kaki kanannya tersasar dalam situasi satu lawan satu berdepan penjaga gol Selangor Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.

Pasukan pelawat terus mengancam menerusi rembatan padu Kingsley Schindler pada minit ke-10, namun percubaannya sedikit tersasar ke kiri gawang Selangor.

Buriram United akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-24 apabila Suphanat bijak mencari ruang sebelum menanduk masuk hantaran Theerathon Bunmathan.

Skuad bimbingan Mark Jackson itu hampir menggandakan kedudukan pada masa tambahan babak pertama, namun percubaan jarak dekat Suphanat berjaya diselamatkan Sikh Izhan.

Bersambung babak kedua, skuad Red Giants meningkatkan intensiti serangan dalam usaha memburu jaringan penyamaan, namun beberapa percubaan gagal menemui sasaran.

Peluang terbaik pasukan tuan rumah kendalian Kim Pan Gon itu hadir pada minit ke-67 menerusi Noor Al Rawabdeh, namun tolakannya sekadar menggegar tiang gol Buriram.

Berbaki kira-kira 10 minit permainan, Pan Gon melakukan tiga pertukaran termasuk menurunkan Muhammad Syahir Bashah dan Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi dalam usaha menyamakan kedudukan tetapi percaturan itu gagal membuahkan hasil.

Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus memberi kelebihan buat Buriram United dalam misi mempertahankan gelaran menjelang aksi timbal balik di Stadium Buriram, Rabu depan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement