Skip to main content

Advertisement

Malaysia

Tiada gangguan teknikal log masuk MyDigital ID-MyJPJ

Nak urus lesen, saman atau roadtax dengan lebih mudah? Kini anda boleh log masuk MYJPJ menggunakan MyDigital ID untuk pengalaman yang lebih ringkas dan selamat. Satu identiti digital, lebih banyak kemudahan. Jom daftar dan mudahkan urusan harian anda. _IG mydigital_id
Pengguna juga diingatkan untuk memastikan kedua-dua aplikasi berada pada versi terkini dan telah diaktifkan sepenuhnya bagi menikmati pengalaman log masuk yang lebih lancar - Gambar Instagram MyDigital ID

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan integrasi log masuk tunggal atau Single Sign-On (SSO) antara MyDigital ID dan aplikasi MyJPJ yang bermula 1 Mei lalu berjalan lancar tanpa sebarang gangguan teknikal.

Menurut kenyataan MyDigital ID, sistem SSO serta integrasi dengan MyJPJ kini berada dalam keadaan stabil dan berfungsi seperti yang dirancang, sekali gus memudahkan pengguna mengakses pelbagai perkhidmatan secara lebih mudah dan selamat.

"Pelaksanaan log masuk tunggal ini turut memperkukuh aspek keselamatan siber apabila pengguna hanya perlu melalui satu identiti digital yang disahkan, dengan pengesahan identiti merujuk kepada rekod rasmi kerajaan, bagi mengakses perkhidmatan kerajaan," jelas kenyataan itu pada Sabtu.

Selain itu, MyDigital ID memaklumkan, pendekatan log masuk tunggal itu mengurangkan kebergantungan terhadap pelbagai kata laluan, sekali gus membantu mengekang risiko pencerobohan akaun, penipuan digital dan penyalahgunaan identiti.

Mengulas lanjut, MyDigital ID berkata sehingga kini, jumlah pengguna MyJPJ yang mendaftar dan log masuk menggunakan MyDigital ID telah mencecah tujuh juta, manakala jumlah keseluruhan pengguna MyDigital ID pula ialah sebanyak 12 juta.

"MyDigital ID terus bekerjasama erat dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) bagi memastikan pengalaman pengguna sentiasa selamat, pantas dan mudah, selaras dengan usaha memperkukuh ekosistem perkhidmatan digital negara," jelas kenyataan itu.

Sehubungan itu, syarikat tersebut menyarankan agar pengguna memuat turun serta mengaktifkan aplikasi MyDigital ID bagi membolehkan akses ke MyJPJ melalui kaedah SSO.

Dalam masa sama, pengguna juga diingatkan untuk memastikan kedua-dua aplikasi berada pada versi terkini dan telah diaktifkan sepenuhnya bagi menikmati pengalaman log masuk yang lebih lancar.

 

Must Watch Video