KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Bandar Mahkota Cheras di sini semalam, ditangguhkan pada 7.30 malam tadi dan akan disambung 8 pagi esok.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata 22 anggota penyelamat termasuk tujuh anggota Pasukan Penyelamat Di Air terlibat dalam operasi hari ini.
Beliau berkata, operasi pencarian melibatkan kawasan dalam radius kira-kira lima kilometer.
"Setakat 7.30 malam tadi mangsa masih belum ditemukan,” katanya ketika dihubungi malam tadi.
Media semalam melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun, Nur Qaseh Deandra Mohd Qayyum, dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang ketika cuba mengambil bola yang terjatuh, sebelum dihanyutkan arus deras.
Bomba menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada 7.08 malam.
-- BERNAMA