SANDAKAN: Seorang pemuda tampil memohon maaf kepada pasukan bomba susulan tindakannya mengeluarkan kata-kata kesat dalam satu video yang tular ketika insiden kebakaran besar di Kampung Bahagia di sini, baru-baru ini.
Rozaizar Rozainie, 39, berkata tindakannya itu berlaku dalam keadaan penuh beremosi dan tertekan apabila melihat suasana kelam-kabut di lokasi kejadian, termasuk kanak-kanak yang panik ketika api marak merebak.
“Emosi saya ketika itu betul-betul terkilan sebab saya tengok budak-budak berlarian dan tidak tahu arah yang hendak dituju apabila api merebak sampai ke kawasan ini.
“Jadi, saya pun tidak perasan telah mengeluarkan kata-kata yang kesat,” katanya ketika ditemui Bernama.
Pada Ahad lepas, kebakaran besar di perkampungan atas air Kampung Bahagia di sini memusnahkan kira-kira 1,000 rumah, melibatkan kawasan seluas lebih empat hektar.
Sehubungan dengan itu, Rozaizar menarik semula kata-kata tersebut selepas menyedari keadaan sebenar di lokasi, selain mengakui tidak melihat sepenuhnya usaha anggota bomba yang sedang menjalankan operasi pemadaman.
“Saya tidak nampak secara menyeluruh … rupa-rupanya mereka (pasukan bomba) di belakang membantu memadamkan api,” katanya.
Terdahulu, video memaparkan lelaki terbabit mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota bomba tular di media sosial, susulan kebakaran besar yang menyebabkan beribu-ribu penduduk terjejas dan kehilangan tempat tinggal itu.
Pihak bomba sebelum ini memaklumkan operasi pemadaman berdepan dengan cabaran termasuk laluan sempit, ketiadaan pili bomba serta keadaan angin kencang yang mempercepat penularan api.
-- BERNAMA