Skip to main content

Advertisement

Bisnes

Ringgit dibuka hampir tidak berubah berbanding dolar AS

71762835969_matawangringgit.jpg
Pada jam 8 pagi, mata wang tempatan itu berada pada paras 3.9495/9570 berbanding dolar AS.

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka hampir tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu berikutan sentimen pasaran kekal berhati-hati susulan berita bahawa gencatan senjata antara AS-Iran yang sepatutnya dijangka tamat hari ini telah dilanjutkan untuk membolehkan rundingan dengan Iran dimuktamadkan.

Pada jam 8 pagi, mata wang tempatan itu berada pada paras 3.9495/9570 berbanding dolar AS, hampir tidak berubah daripada 3.9490/930 ketika ditutup pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Presiden AS Donald Trump dalam minit-minit akhir mengumumkan bahawa gencatan senjata akan diteruskan sehingga kedua-dua pihak mencapai persetujuan walaupun tiada pengesahan dalam perkara ini oleh pegawai Iran.

“Nampaknya pasaran perlu melakukan penyesuain dengan mesej yang tidak konsisten. Walaupun ia mewujudkan tahap ketidakpastian yang tinggi, ia juga menunjukkan sedikit keraguan, membawa kepada harapan bahawa kompromi dapat dicapai pada satu ketika,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata harga minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) dan Brent terus meningkat sebanyak 2.57 peratus dan 3.74 peratus kepada AS$89.67 setong dan AS$99.05 setong memandangkan prospek gencatan senjata antara AS dan Iran kelihatan sukar dicapai.

"Sementara itu, jualan runcit di AS meningkat lebih daripada dijangkakan pada bulan Mac, naik 0.7 peratus bulan ke bulan berbanding anggaran konsensus sebanyak 0.2 peratus.

"Bagaimanapun, tanpa mengambil kira gas dan automotif, jualan runcit kekal pada 0.6 peratus, menunjukkan bahawa harga petrol lebih tinggi pada Mac merupakan faktor utama peningkatan jualan runcit. Ini boleh bermakna kuasa beli rakyat Amerika semakin berkurangan kerana mereka perlu memperuntukkan lebih banyak untuk bahan api sehingga menjejaskan barangan lain," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Afzanizam berkata calon pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) AS, Kevin Warsh, kekal konsisten dalam pendiriannya mengenai kebebasan bank pusat pada sesi pendengaran di hadapan Jawatankuasa Perbankan Senat pada Selasa, menjanjikan rangka kerja baharu dalam menangani isu kos sara hidup yang lebih tinggi walaupun tiada butiran dinyatakan.

Beliau berkata Indeks Dolar AS (DXY) melonjak 0.32 peratus kepada 98.414 mata.

“Sehubungan itu, ringgit akan kekal dalam jajaran kecil antara RM3.94 hingga RM3.96 hari ini kerana peniaga dan pelabur akan menunggu perkembangan muktamad peperangan di Iran,” kata Mohd Afzanizam.

Pada pembukaan, ringgit kebanyakannya diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan merosot berbanding pound Britain kepada 5.3366/3467 daripada 5.3323/3377 ketika ditutup semalam, bagaimanapun menokok berbanding euro kepada 4.6391/6479 daripada 4.6436/6483 sebelumnya dan menambah berbanding yen Jepun kepada 2.4785/4834 daripada 2.4802/4829 sebelum itu.

Ringgit didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1018/1079 daripada 3.1043/1077 ketika ditutup semalam, naik berbanding baht Thailand kepada 12.2709/3022 daripada 12.2983/3162 pada penutupan Selasa tetapi tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 230.3/230.9 daripada 230.3/230.7 pada penutupan semalam dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.59/6.60.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video