NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan bahawa tahap keganasan di Semenanjung Gaza kini melonjak ke paras tertinggi sejak perjanjian gencatan senjata dikuatkuasakan.
Menurut laporan terkini yang dikeluarkan PBB, jumlah insiden telah meningkat hampir 50 peratus berbanding minggu sebelumnya, sekali gus mencerminkan situasi keselamatan yang semakin tidak stabil.
Selain itu, Jurucakap PBB, Stephane Dujarric melaporkan bahawa rakan kerjasama di lapangan juga menunjukkan dalam tempoh antara 12 hingga 18 April, insiden seperti tembakan, bedilan dan serangan udara meningkat sebanyak 46 peratus.
Jelasnya, kawasan yang paling terkesan dengan peningkatan keganasan adalah di wilayah utara Gaza serta Deir al-Balah.
Di samping itu, Dujarric turut memberi amaran berhubung keupayaan pihaknya melaksanakan kerja-kerja pembersihan ketika sekatan oleh Israel masih berkuat-kuasa ketika ini.
“Sekatan ini telah menghalang kemasukan peralatan penting, sekali gus menjejaskan keupayaan untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan pelupusan secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan pada Selasa
Walaupun begitu, beliau memaklumkan bahawa rakan pelaksana telah menjalankan sesi pendidikan keselamatan kepada puluhan ribu orang awam sebagai langkah mitigasi.
Namun demikian, usaha tersebut masih tidak mencukupi tanpa sokongan logistik yang mencukupi.
Sementara itu, Pejabat Media Gaza mendakwa bahawa pasukan Israel telah melakukan kira-kira 2,400 pelanggaran sejak perjanjian tersebut dimeterai. Pelanggaran itu termasuk pembunuhan, penahanan, sekatan dan tindakan yang mengakibatkan kebuluran dalam kalangan penduduk.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza pula, pelanggaran berkenaan telah mengorbankan 777 rakyat Palestin serta mencederakan 2,193 yang lain setakat Isnin minggu ini. Lebih membimbangkan, data rasmi selepas gencatan senjata menunjukkan lebih 72,000 rakyat Palestin terbunuh, manakala lebih 172,000 cedera, selain kira-kira 90 peratus infrastruktur awam di Gaza musnah.
Dalam perkembangan berkaitan, Dujarric turut mengulas situasi di Tebing Barat yang diduduki dengan menyifatkannya sebagai semakin membimbangkan. Dengan memetik data daripada Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB, beliau berkata keganasan menunjukkan corak peningkatan yang konsisten.
Jelasnya, pada suku pertama 2026 sahaja, seramai 33 rakyat Palestin terbunuh dan 790 cedera akibat tindakan pasukan Israel atau peneroka haram. Selain itu, lebih 540 serangan oleh peneroka Israel turut direkodkan, mengakibatkan kecederaan serta kerosakan harta benda.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa setiap serangan yang menjejaskan orang awam perlu disiasat secara menyeluruh, selain pihak pentadbiran Israel perlu memastikan individu yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.