LOS ANGELES: Lembaga Sekolah Los Angeles pada Selasa meluluskan satu dasar bagi mengawal masa penggunaan skrin pelajar semasa tugasan dalam bilik darjah, di tengah kebimbangan bahawa pendedahan berlebihan kepada teknologi boleh dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan dan perkembangan.
Langkah itu diluluskan sebulat suara 6-0, dengan seorang ahli menarik diri daripada mengundi, menjadikan Daerah Sekolah Bersatu Los Angeles (LAUSD) antara yang terawal di Amerika Syarikat (AS) melaksanakan had penggunaan skrin mengikut peringkat umur di seluruh sistem sekolah.
Ahli lembaga, Nick Melvoin, yang mencadangkan dasar tersebut, berkata inisiatif itu diharap dapat meletakkan LAUSD sebagai peneraju nasional dalam isu berkaitan penggunaan teknologi di sekolah, susulan larangan penggunaan telefon bimbit yang diperkenalkan pada 2024.
Penyokong dasar itu berkata matlamatnya adalah untuk mengimbangi keperluan pembelajaran dengan kebimbangan yang semakin meningkat bahawa penggunaan skrin secara berlebihan boleh menjejaskan tumpuan, perkembangan sosial serta kesihatan mental dan fizikal pelajar.
Daerah itu, yang menempatkan kira-kira setengah juta pelajar, telah banyak bergantung kepada komputer riba dan tablet sejak pandemik COVID-19 pada 2020 mempercepatkan pembelajaran digital.
Bagaimanapun, resolusi tersebut memetik pandangan Akademi Pediatrik AS yang menyatakan bahawa pendedahan skrin berlebihan boleh dikaitkan dengan masalah penglihatan, peningkatan kebimbangan dan kemurungan, tingkah laku ketagihan, perhatian yang lemah dan pencapaian akademik yang lebih rendah.
Kajian yang dirujuk turut menunjukkan kanak-kanak berusia lapan hingga 11 tahun yang melebihi cadangan masa skrin berdepan risiko obesiti lebih tinggi dan prestasi kognitif yang lebih rendah.
Dasar itu bagaimanapun tidak mengharamkan penggunaan peranti atau menetapkan had masa seragam secara serta-merta.
Sebaliknya, ia mengarahkan kakitangan daerah merangka garis panduan mengikut umur dengan penglibatan guru, ibu bapa dan pakar kesihatan awam.
Peraturan sedia ada di peringkat sekolah akan kekal berkuat kuasa sehingga garis panduan baharu diperkenalkan.
Sebilangan pihak mengingatkan agar pelaksanaan had masa skrin dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak menjejaskan pelajar kurang upaya yang bergantung kepada teknologi sebagai alat pembelajaran.