KUANTAN: Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini mengingatkan semua wakil rakyat di negeri ini supaya melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan berintegriti tanpa menunggu musim pilihan raya.
Baginda juga mahu segala isu penduduk diselesaikan segera dengan wakil rakyat perlu lebih proaktif.
“Kalau perlu turun naik jabatan dan agensi, buatlah kerana Yang Berhormat semua adalah wakil dipilih oleh rakyat. Jangan sehingga masalah longkang sekolah, anjing liar, benteng pecah, tebang pokok juga sampai kepada saya.
“Bekerja bersungguh-sungguh. Jangan tunggu tahun terakhir pilihan raya baru nak tunjuk muka, baru nak buat itu dan ini,” titah baginda semasa merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Menjelang pilihan raya umum akan datang, baginda turut menyarankan semua pihak tidak memainkan isu yang boleh menggugat perpaduan, sebaliknya mengamalkan kematangan dalam berpolitik.
Titah baginda sebarang tindakan yang sengaja menimbulkan kebencian antara kaum dan agama, adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali.
“Saya mahu isu-isu 3R (kaum, agama, dan institusi diraja) ini dihentikan. Semua pihak tanpa mengira latar belakang hendaklah bertanggungjawab dalam setiap tindakan serta menjunjung tinggi nilai hormat, toleransi dan undang-undang,” titah Tengku Hassanal.
Di samping itu, baginda menasihatkan sebarang isu berkaitan pembinaan rumah ibadat sama ada di atas tanah kerajaan mahupun persendirian perlu mematuhi sepenuhnya lunas undang-undang serta peraturan telah ditetapkan.
“Janganlah bertindak ikut emosi dan tidak ada sesiapa boleh mendahului undang-undang dalam menangani perkara-perkara yang boleh menggugat keamanan dan kestabilan negeri,” titah baginda.
Menyentuh mengenai krisis bekalan global, baginda mahu Pahang tidak sekadar menjadi pemerhati tetapi bertindak sebagai negeri yang bersedia dan berdaya tahan antaranya dengan memperkukuh pelbagai sektor supaya tidak bergantung pada satu sumber dominan semata-mata.
-- BERNAMA