Skip to main content

Malaysia

Lelaki nyaris maut dihempap pokok tumbang

https://www.sinarharian.com.my/article/779014/berita/semasa/lelaki-nyaris-maut-dihempap-pokok-tumbang
Anggota bomba memotong pokok yang tumbang dan melintangi jalan dalam kejadian di kawasan Batu 10 pada Jumaat.

GOMBAK: Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila kenderaan dipandunya dihempap sebatang pokok tumbang di kawasan Batu 10 di sini pada Jumaat.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.33 tengah hari.

"Seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Selayang bersama jentera dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira 19 kilometer," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ahmad Mukhlis berkata, mangsa berusia 27 tahun itu dilaporkan tidak mengalami kecederaan dan sempat keluar daripada kenderaan sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira jam 1.56 tengah hari.

"Setibanya di lokasi, didapati sebatang pokok tumbang menghempap sebuah kenderaan serta melintangi jalan.

"Kerja-kerja pembersihan dilakukan menggunakan gergaji berantai sebelum pokok berjaya dialihkan sepenuhnya," katanya.

Katanya, anggota bomba turut menjalankan pemeriksaan di sekitar lokasi bagi memastikan tiada lagi unsur berbahaya yang boleh mengancam keselamatan orang awam. - Sinar Harian

 

Must Watch Video