DUNIA sekali lagi dikejutkan apabila Global Sumud Flotila (GSF), sebuah misi bantuan kemanusiaan untuk Gaza, berhadapan dengan sabotaj dan pintasan ketenteraan di perairan Mediterranean. Namun, tumpuan kini bukan sahaja terarah kepada tindakan agresif ketenteraan Israel (IDF), tetapi juga kepada kemungkinan wujudnya "pakatan" yang dimainkan oleh negara-negara berhampiran, khususnya Greece, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.
Antara 29 April sehingga 1 Mei 2026, tentera laut rejim Zionis Israel telah memintas kapal-kapal GSF di perairan antarabangsa, lebih kurang 80 batu nautika di barat kepulauan Crete, Greece. Apa yang membimbangkan adalah kegagalan pihak Greece untuk bertindak atau melindungi kapal-kapal GSF walaupun insiden tersebut berlaku di zon yang sangat hampir dengan wilayah mereka.
Lebih mengejutkan, aktivis kemanusiaan GSF Saif Abukeshek dan Thiago Ávila, telah dibawa ke pelabuhan Lerapetra di selatan Crete tetapi tidak dibenarkan memasuki Greece bersama aktivis lain. Sebaliknya, Greece membiarkan mereka dibawa terus ke Israel untuk ditahan sehingga kini. Kegagalan Greece ini bukan sekadar kecuaian, tetapi seolah merestui operasi ketenteraan Israel terhadap GSF yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa.
Sekiranya diteliti tindakan Greece sepanjang insiden pintasan tersebut dan sehingga kini, dapat disimpulkan bahawa wujud kemungkinan penglibatan Greece, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Kegagalan Greece dalam memberikan sebarang perlindungan kepada misi kemanusiaan tersebut menimbulkan satu tanda tanya, adakah Greece bersubahat? Walaupun Kementerian Luar Greece dalam satu kenyataan menafikan sebarang penglibatan dalam operasi ketenteraan tersebut, kenyataan itu hanyalah satu penafian kosong. Kegagalan ketara Greece untuk melindungi Saif Abukeshek dan Thiago Ávila daripada diculik oleh tentera Israel dari pelabuhannya sendiri sudah cukup untuk mengesahkan peranan aktif Greece dalam insiden tersebut.
Persoalannya, mengapa Greece merelakan kedaulatan maritimnya diceroboh untuk kepentingan Israel? Berdasarkan kajian dan analisis CENTHRA, jawapannya mungkin terletak pada Perjanjian/Deklarasi Trilateral antara Israel, Greece, dan Cyprus yang diumumkan pada Disember 2025. Dalam perjanjian/deklarasi tersebut, ketiga-tiga negara bersetuju untuk memperluaskan kerjasama dalam, antara lain bidang keselamatan dan pertahanan maritim, menjadikan perairan Mediterranean sebagai zon kawalan bersama. Perjanjian ini secara efektif menjadikan Greece dan Cyprus sebagai rakan strategik yang terikat untuk melindungi kepentingan keselamatan Israel.
Sekiranya GSF memutuskan untuk meneruskan misi kemanusiaan mereka dari Turkiye, mereka tidak lagi sekadar berhadapan dengan tentera Israel di penghujung perjalanan. Dengan kewujudan Perjanjian/Deklarasi Trilateral tersebut, besar kemungkinan Cyprus juga akan bertindak sebagai "benteng pertahanan" atau "tembok kedua" rejim Zinonis Israel.
Dengan kedudukan geografi Cyprus yang terletak di laluan antara Turkiye dan Gaza, serta penglibatan mereka dalam Perjanjian/Deklarasi Trilateral Disember lalu, kemungkinan besar kapal GSF yang bergerak dari pelabuhan Turkiye akan dipintas lebih awal oleh Cyprus sendiri atau tentera rejim Zionis yang berpangkalan di Cyprus. Ini mewujudkan zon bahaya yang lebih luas, di mana Cyprus mungkin berfungsi sebagai "filter" bagi pihak Israel.
Situasi kini lebih membimbangkan dengan dengan penglibatan Amerika Syarikat. Pada 30 April 2026, Jabatan Negara Amerika Syarikat melalui satu kenyataan secara rasmi mengutuk GSF dan melabelkan misi bantuan kemausiaan tersebut sebagai "pro-Hamas". Dalam kenyataan yang sama, Amerika Syarikat menuntut semua negara Board of Peace serta sekutu-sekutu lain untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap GSF. Tuntutan Amerika Syarikat ini adalah isyarat jelas kepada negara Board of Peace dan sekutu-sekutu lain untuk bertindak sebagai benteng pertahanan Israel.
Selain itu, tuntutan Amerika Syarikat ini juga jelas menunjukkan kegagalan kuasa besar tersebut dalam menghormati kedaulatan dan prinsip undang-undang antarabangsa yang sering mereka laungkan. Dengan mendesak sekutu antarabangsa menyekat GSF, Amerika Syarikat secara terang-terangan mencabuli prinsip "Freedom of Navigation” di perairan antarabangsa dan mengabaikan obligasi kemanusiaan di bawah Konvensyen Geneva yang melarang sebarang bentuk halangan terhadap bantuan kemanusiaan. Kegagalan Amerika Syarikat untuk bertindak sebagai kuasa besar yang adil, sebaliknya menjadi dalang di sebalik tekanan diplomatik ini, membuktikan bahawa sistem perundangan antarabangsa sekali lagi diketepikan demi kepentingan rejim Zionis.
Tindakan dan pendirian negara-negara ini juga merupakan satu pengabaian terhadap apa yang telah ditegaskan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam Afrika Selatan lwn. Israel. Keputusan tersebut secara nyata menuntut semua negara untuk tidak memberikan sebarang bantuan atau sokongan dalam mengekalkan pendudukan berterusan Israel di Palestin. Dengan hanya berdiam diri atau membenarkan pintasan GSF serta penahanan aktivis misi kemanusiaan, negara-negara yang terlibat bukan sahaja bersubahat dengan penindasan, malah secara terang-terangan melanggar keputusan ICJ yang menyatakan bahawa komuniti antarabangsa mempunyai obligasi untuk tidak membantu atau menyokong pengekalan pendudukan haram Israel.
GSF kini bukan sahaja berjuang menentang sekatan di Gaza, tetapi juga menentang jaringan kesepakatan geopolitik kompleks yang disokong dan direstui oleh Amerika Syarikat. "Complicity" atau pakatan ini menunjukkan bahawa undang-undang antarabangsa sekali lagi dicabul demi kepentingan rejim Zionis Israel. Bagi para aktivis, perjalanan ke Gaza kini bukan lagi sekadar misi kemanusiaan, tetapi satu misi memecahkan tembok maritim yang lebih besar yang dibina oleh pakatan penjajah.
*Artikel ini ditulis oleh Luqman Mazlan yang merupakan peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya dan juga sukarelawan Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA).
**Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan pemerhatian bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.