KUALA LUMPUR: Polis hari ini memberi amaran kepada orang ramai mengenai taktik penipuan baharu yang menyasarkan mangsa scam, dengan menawarkan perkhidmatan mendapatkan semula wang yang hilang.
Perkara itu didedahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa.
"Modus operandi tersebut dikesan apabila mangsa tertarik dengan iklan di Facebook sebelum dihubungi melalui aplikas WhatsApp oleh suspek yang menyamar sebagai wakil National Scam Response Centre (NSRC).
"Suspek kemudiannya mendakwa boleh membantu mendapatkan semula wang mangsa yang telah ditipu, namun mengenakan bayaran pendahuluan sebagai syarat perkhidmatan," katanya dalam satu kenyataan.
Mangsa yang terpedaya akan melakukan beberapa transaksi ke akaun bank berbeza seperti diarahkan, tetapi selepas itu terus diminta membuat bayaran tambahan tanpa sebarang pemulangan wang seperti dijanjikan.
Rusdi menegaskan, tiada mana-mana pihak boleh menjanjikan pemulangan wang yang telah ditipu secara mudah, lebih-lebih lagi dengan mengenakan bayaran pendahuluan.
“Orang ramai dinasihat supaya tidak terpedaya dengan tawaran sedemikian serta sentiasa membuat semakan dengan pihak berkuasa sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan,” tambahnya.
Berdasarkan rekod JSJK, sebanyak enam kes melibatkan penipuan tawaran mendapatkan semula wang direkodkan dari 2025 hingga Mac 2026, dengan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM68,491.
Kes-kes tersebut melibatkan beberapa negeri termasuk Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Terengganu, dengan kebanyakan mangsa dilaporkan menjadi mangsa penipuan buat kali kedua.
Sehubungan itu, polis menyarankan orang ramai yang menjadi mangsa penipuan agar segera menghubungi NSRC di talian 997 atau tampil membuat laporan di balai berhampiran bagi membolehkan tindakan segera diambil.