PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengarahkan agar pondok keselamatan agensi penguat kuasa di sempadan dinaik taraf segera selepas mendapati keadaannya lebih daif berbanding gerai burger.
Beliau berkata, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik Jeman telah diminta mempercepatkan proses naik taraf berkenaan kerana ia tidak melibatkan kos yang besar.
“Semalam saya turun sendiri meninjau kawasan perbatasan di Padang Besar, Bukit Kayu Hitam, Durian Burung dan Pangkalan Hulu. Saya mahu menyampaikan mesej, khususnya kepada Datuk Ketua Setiausaha.
"Terus terang saya katakan, saya tidak sanggup melihat keadaan tempat bertugas pasukan di lapangan. Pondok perlindungan mereka kelihatan seperti stor burger, malah stor burger lebih cantik keadaannya.
"Saya minta Datuk, walaupun dalam kekangan kewangan, dapat ‘squeeze’ sedikit peruntukan untuk selesaikan perkara ini terlebih dahulu, terutama di Pangkalan Hulu, supaya kemudahannya lebih presentable.
"Mereka mengawal keluar masuk kenderaan, membanteras penyeludupan dan pelbagai ancaman, namun tempat rehat mereka sangat tidak memuaskan dan jauh daripada sewajarnya," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya pada Isnin.
Menurut Saifuddin, hanya beberapa unit pondok perlu dinaik taraf dan kos yang terlibat tidak besar, justeru proses itu wajar dipercepatkan sepertimana naik taraf yang pernah dilakukan di Pos Wang Kelian.
Beliau turut menegaskan bahawa pihak atasan perlu mengambil berat kebajikan anggota di lapangan dan memastikan isu asas seperti kemudahan tempat bertugas diselesaikan segera.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata Kerajaan berdepan cabaran besar untuk mempersiapkan rakyat menghadapi kemungkinan kesan konflik global terhadap bekalan tenaga tanpa mencetuskan panik atau sikap sambil lewa.
Katanya, cabaran utama kerajaan ketika ini ialah mengimbangi penyampaian mesej yang realistik dan telus kepada rakyat, namun pada masa sama tidak menimbulkan kegusaran berlebihan.