KUALA LUMPUR: Pembuat dasar di rantau ASEAN+3 perlu segera memperkukuh rangka kerja pengurusan fiskal berikutan kedudukan fiskal yang semakin lemah serta peningkatan risiko kejutan luaran, menurut Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO).
Dalam Laporan Dasar Fiskal ASEAN+3 (AFPR) 2026 yang dikeluarkan hari ini, AMRO berkata kerajaan kini berdepan ruang fiskal yang semakin sempit pada ketika mereka bukan sahaja perlu menangani kejutan jangka pendek.
Bahkan, mereka juga perlu menyokong pertumbuhan ekonomi, memacu transformasi struktur serta mengurangkan kemiskinan dan ketidaksamaan dalam jangka sederhana hingga panjang.
Laporan itu menyatakan kedudukan fiskal di seluruh rantau kekal lebih lemah berbanding tahap prapandemik susulan pelaksanaan dasar sokongan yang berterusan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, manakala pertumbuhan hasil yang perlahan dan struktur belanjawan yang semakin tegar terus membataskan keupayaan dasar.
“Dengan kedudukan fiskal yang semakin lemah dan ruang dasar yang terhad, pembuat dasar perlu mengutamakan kelestarian fiskal serta usaha membina semula penampan fiskal,” menurut laporan itu, sambil menegaskan keperluan rangka kerja pengurusan fiskal yang lebih kukuh bagi menangani tuntutan dasar yang saling bersaing.
Timbalan Pengarah AMRO, Abdurohman berkata dasar fiskal perlu kekal fleksibel dalam persekitaran global yang semakin tidak menentu, termasuk risiko peningkatan tarif dan turun naik harga minyak global yang didorong oleh konflik geopolitik yang berterusan di Asia Barat.
“Di tengah-tengah peningkatan risiko daripada eskalasi tarif dan harga minyak global yang tidak menentu akibat konflik geopolitik di Timur Tengah, dasar fiskal perlu kekal fleksibel bagi meredam kesan buruk serta melindungi kestabilan ekonomi,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa pengukuhan pengurusan risiko makroekonomi secara sistematik kini semakin kritikal, termasuk melalui perancangan kontingensi yang kukuh, penglibatan pihak berkepentingan secara proaktif serta komunikasi yang jelas dan telus.
Laporan itu turut menekankan kepentingan pengurusan risiko fiskal yang menyeluruh, dengan menggesa pembuat dasar memperkukuh proses pengenalpastian, penilaian dan pendedahan risiko fiskal.
Perhatian khusus perlu diberikan kepada liabiliti di luar liputan belanjawan rasmi, termasuk pembiayaan oleh entiti awam luar belanjawan serta tunggakan kerajaan, menurut laporan itu.
“Pemantauan yang sistematik dan pengurusan proaktif terhadap liabiliti luar jangka adalah penting, khususnya yang berkaitan dengan jaminan kerajaan, perkongsian awam-swasta, perusahaan milik negara serta obligasi keselamatan sosial,” katanya.
AMRO turut menegaskan keperluan memperkukuh pengurusan agregat fiskal, di samping meningkatkan pengagihan sumber secara strategik dan kecekapan perbelanjaan bagi memenuhi tekanan peningkatan perbelanjaan sejajar dengan keutamaan nasional, sambil melindungi kelestarian fiskal.
Ketua Kumpulan Pemantauan Fiskal AMRO dan penulis utama laporan itu, Seung Hyung (Luke) Hong berkata penetapan penambat fiskal yang berwibawa adalah penting untuk membimbing agregat fiskal jangka sederhana hingga panjang ke laluan yang mampan.
“Penetapan penambat fiskal bagi membimbing agregat fiskal jangka sederhana hingga panjang ke arah laluan mampan adalah amat penting. Pada masa yang sama, kecekapan dari segi peruntukan dan pelaksanaan perbelanjaan juga perlu dipertingkat,” katanya.
Beliau berkata langkah itu boleh dicapai melalui pengukuhan rangka kerja fiskal jangka sederhana, penerapan pendekatan berasaskan prestasi sepanjang kitaran belanjawan, penambahbaikan pengurusan pelaburan awam serta pengukuhan asas institusi bagi pelaksanaan belanjawan.
Di pihak hasil pula, laporan itu menggalakkan pelaksanaan langkah penjanaan hasil yang menyeluruh dan mampan bagi menangani kelemahan berterusan dalam pertumbuhan hasil.
Ini termasuk pengukuhan pentadbiran cukai khususnya melalui pendigitalan, rasionalisasi perbelanjaan cukai serta pelaksanaan pembaharuan struktur terhadap cukai utama, menurut laporan itu.
AFPR 2026 menyediakan penilaian menyeluruh mengenai perkembangan fiskal terkini dan prospek rantau ASEAN+3, selain menggariskan keutamaan dasar utama bagi memperkukuh daya tahan fiskal dalam persekitaran global yang semakin mencabar.