BATU PAHAT: "Saya ternampak orang ramai berkerumun di depan sekolah dan dengar murid lain sebut nama 'Aini'.
"Bila cikgu memberitahu murid itu adalah anak saya, badan saya terus lemah. Saya tidak sanggup melihat jenazahnya kerana keadaan sangat parah,"
Demikian kata Asmilah Tukiran, 37, ibu kepada murid Darjah Dua, Nur Aini Umairah, 8, yang maut selepas dipercayai dilanggar van di hadapan sekolahnya di sini pada tengah hari, Selasa.
Asmilah berkata, dia tiba lewat beberapa minit di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Parit Sulong selepas menyiapkan anaknya Ahmad Sufi, 5, yang baru pulang dari prasekolah sekitar jam 12.30 tengah hari.
Menurutnya, ketika itu, dia memandi serta menukarkan pakaian anak bongsunya sebelum keluar semula dari rumah untuk mengambil Nur Aini kira-kira 10 minit kemudian.
Asmilah memberitahu, dia sentiasa mengingatkan Nur Aini supaya menunggunya di dalam pagar sekolah setiap kali sesi persekolahan tamat.
"Biasanya bila saya tiba, Nur Aini barulah keluar dari pagar sekolah tapi pada hari kejadian, saya tidak tahu kenapa Nur Aini Umairah berada di luar pagar dan ada kemungkinan dia mahu membeli sesuatu," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) hari ini.
Sebelum itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian berlaku ketika van dipandu lelaki berusia 60 tahun bergerak keluar dari dalam kawasan sekolah setelah selesai menghantar barang.
Menurutnya, mangsa dilanggar ketika berjalan di hadapan pintu utama yang menyebabkan cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian. - Sinar Harian