Skip to main content

Bisnes

Meta disaman Hachette, Macmillan, McGraw Hill kerana latih AI guna buku tanpa kebenaran

AMANZ
Meta mempertahankan diri dengan menyatakan bahawa latihan AI menggunakan karya dengan hak cipta boleh dianggap sebagai fair use dan berjanji akan melawan saman tersebut.

LIMA penerbit buku besar iaitu Elsevier, Cengage, Hachette, Macmillan dan McGraw Hill memfailkan saman ke atas Meta di mahkamah persekutuan Manhattan kerana mendakwa Meta menggunakan buku dan artikel jurnal mereka tanpa kebenaran untuk melatih model kecerdasan buatan (AI) Llama.

Selain itu penulis Scott Turow turut menjadi plaintif dalam saman kumpul yang mewakili penulis lain yang karya mereka digunakan tanpa kebenaran. Meta dituduh mencetak rompak jutaan buku seperti The Fifth Season dan The Wild Robot yang kemudiannya dijadikan data untuk melatih model AI mereka.


Penerbit meminta kebenaran mahkamah untuk mewakili pemilik hak cipta yang lebih besar serta menuntut ganti rugi kewangan daripada Meta yang tidak dinyatakan jumlahnya. Presiden Persatuan Penerbit Amerika berkata tindakan Meta adalah “pencerobohan berskala besar” dan menjejaskan masa depan AI jika syarikat teknologi mengutamakan laman cetak rompak berbanding karya ilmiah.

Meta mengatakan mereka mempertahankan diri dengan menyatakan bahawa latihan AI menggunakan karya dengan hak cipta boleh dianggap sebagai fair use dan berjanji akan melawan saman tersebut. Ini sebuah lagi kes saman besar yang dihadapi Meta.

September tahun lalu Anthropic menyelesaikan kes pelanggaran hak cipta dengan membayar $1.5 bilion kepada sekumpulan penulis untuk menamatkan saman kumpul yang difailkan. Mahkamah menolak penyelesaian ini kerana penulis hanya menerima pampasan $3000 untuk setiap karya yang dilanggar hak ciptanya.

Dalam kes saman penulis Richard Kadrey, Christopher Golden dan pelawak Sarah Silverman ke atas Meta tahun lalu, syarikat milik Mark Zuckerberg didapati memuat turun sekurang-kurangnya 81.7 TB karya yang dicetak rompak menerusi torrent. Walaupun didapati tidak bersalah menggunakan alasan fair use, Meta mungkin dikenakan tindakan keran selepas memuat turun Torrent, mereka melakukan seeding karya yang dicetak rompak. Ini jelas melanggar undang-undang anti cetak rompak Amerika.

Must Watch Video