Skip to main content

Malaysia

Syed Ali cadang festival diadakan dalam stadium, jaga sensitiviti

Syed Ali Alhabshee
Syed Ali menjelaskan penggunaan stadium sebagai lokasi penganjuran acara berskala besar adalah satu pendekatan yang praktikal dan wajar - Foto/Facebook/Syed Ali

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mencadangkan agar sebarang penganjuran hiburan atau festival yang bertujuan menarik pelancong luar di negara ini dilaksanakan secara tertutup di stadium atau arena khas.

Menurut beliau, penggunaan stadium sebagai lokasi penganjuran acara berskala besar adalah satu pendekatan yang praktikal dan wajar.

Malah, jelas Syed Ali, ia telah terbukti berjaya di negara jiran seperti Indonesia dengan mengambil contoh penganjuran majlis keagamaan dengan kehadiran ratusan ribu pengunjung di dalam stadium.

"Jadi, tidak ada alasan oleh mana-mana pihak untuk menafikan kewajaran penggunaan stadium dalam penganjuran sesuatu aktiviti termasuk pesta kebudayaan untuk menarik pelancong," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook pada Isnin.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan perlu lebih tegas dalam memastikan setiap aktiviti hiburan selari dengan aspirasi nasional serta menghormati budaya dan sensitiviti masyarakat majmuk, khususnya umat Islam memandangkan Islam merupakan agama rasmi negara.

"Saya berpendapat kerajaan tidak perlu tunduk dengan sebarang tekanan atau cadangan yang menyinggung sensitiviti umat Islam di Malaysia yang mana Islam adalah agama rasmi," tambahnya.

Dalam pada itu, beliau turut meluahkan rasa dukacita terhadap penganjuran Festival Muzik Air Rain Rave 2026 yang berlangsung selama tiga hari di Bukit Bintang, baru-baru ini.

Katanya, penganjuran festival tersebut secara terbuka di jalanan disifatkan sebagai tidak sesuai dan bertentangan dengan nilai moral serta adat resam masyarakat tempatan.

"Pada hemat saya masyarakat yang normal tidak akan bersetuju dengan perbuatan tidak senonoh dan mencemarkan nilai moral sepanjang pesta air itu berlangsung secara terbuka di jalanan, di Bukit Bintang.

Pada 3 Mei lalu, ​Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus dilapor berkata kemuncak Festival Muzik Air Rain Rave 2026 yang dihadiri kira-kira 30,000 pengunjung di Bukit Bintang, berlangsung dalam keadaan selamat dan terkawal tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Festival yang menampilkan pelbagai persembahan hiburan termasuk artis tempatan dan DJ antarabangsa itu, diadakan sempena sambutan Hari Pekerja sebagai sebahagian daripada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
 

Must Watch Video