Skip to main content

Dunia

Darurat diisytiharkan di Wilayah Chuvashia, Rusia selepas serangan Ukraine ragut dua nyawa

Bernama Anadolu
Menurut Kementerian Pertahanan Rusia, Kyiv melancarkan serangan dron besar-besaran semalaman, dan Moscow berjaya menembak jatuh hampir 300 dron di 15 wilayah Rusia. - Gambar hiasan/BERNAMA

MOSCOW: Pihak berkuasa di Wilayah Chuvashia, Rusia mengisytiharkan darurat selepas serangan Ukraine menyasarkan kawasan kediaman awam yang mengorbankan dua nyawa dan mencederakan 34 yang lain, lapor  Anadolu Ajansi pada Selasa.

Gabenor Chuvashia Oleg Nikolaev menerusi platform media Rusia, Max, memaklumkan serangan berkenaan menjejaskan kira-kira 8,500 penduduk.

"Dengan rasa amat sedih, dua orang awam disahkan terkorban. Serangan utama itu mengenai infrastruktur awam melibatkan 28 bangunan pangsapuri.

Dua daripada bangunan itu mengalami kerosakan pada struktur galas beban, menjadikannya sangat berbahaya untuk didiami," katanya.

Beliau melaporkan tiga pusat perlindungan sementara telah dibuka bagi menempatkan penduduk yang memerlukan kediaman. Susulan serangan itu, pihak berkuasa mengisytiharkan darurat peringkat wilayah bagi menangani kesan susulan.

Terdahulu, pihak berkuasa Rusia menyatakan Ukraine turut menyerang sebuah lagi loji penapisan minyak dan kilang peralatan elektrik, yang mengakibatkan sekurang-kurangnya tiga kecederaan.

Kementerian Pertahanan Rusia dalam satu kenyataan berkata Kyiv melancarkan serangan dron besar-besaran semalaman, dan Moscow berjaya menembak jatuh hampir 300 dron di 15 wilayah Rusia.

"Sistem pertahanan udara memintas dan memusnahkan 289 pesawat tanpa pemandu (UAV) milik Ukraine semalaman," menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, menurut agensi berita Ukraine, Unian, jumlah dron yang dilancarkan adalah jauh lebih tinggi dengan kira-kira 200 dron disasarkan ke ibu negara, Moscow sahaja.

Gabenor Leningrad, Alexander Drozdenko mendakwa 29 dron Ukraine ditembak jatuh di wilayahnya, namun serangan itu menyebabkan kebakaran di Zon Industri Kirishi, lokasi sebuah loji penapisan minyak.

"Kebakaran di Zon Industri Kirishi telah dikawal. Sasaran utama musuh ialah loji penapisan minyak KINEF. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam serangan itu," katanya menerusi Telegram.

Sementara itu di Bandar Cheboksary, sebuah syarikat pembangunan dan pengeluaran peralatan elektrik menjadi sasaran serangan dron yang mencederakan tiga individu, pihak berkuasa wilayah itu berkata dalam satu kenyataan pada Selasa.

Setakat ini, Ukraine belum memberikan sebarang ulasan mengenai dakwaan Rusia itu, manakala pengesahan bebas sukar dilakukan berikutan konflik yang masih berterusan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video