GENEVA: Satu laporan baharu yang dikeluarkan secara bersama oleh beberapa agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa memberi amaran tentang risiko potensi "pandemik digital" yang dicetuskan oleh gangguan terhadap rangkaian komunikasi dan menggesa tindakan bersepadu oleh negara-negara untuk meningkatkan daya tahan digital, lapor Xinhua.
Laporan bertajuk "Apabila Sistem Digital Gagal: Risiko Tersembunyi Dunia Digital Kita", menggariskan senario risiko di darat, laut dan angkasa lepas, serta menganalisis kerapuhan sistem digital yang saling berhubung di samping menyediakan pelan tindakan untuk kesiapsiagaan.
Senario risiko dan kesan "pandemik digital" digambarkan seperti berikut: ribut suria yang teruk boleh melumpuhkan satelit, mengganggu sistem navigasi dan menggugat kestabilan grid tenaga, dengan tempoh pemulihan yang berpotensi memakan masa berbulan-bulan.
Suhu melampau pula boleh membebankan pusat data, membawa kepada gangguan perkhidmatan mudah alih serta kerosakan dalam sistem penjagaan kesihatan dan transaksi kewangan.
Gempa bumi atau bencana alam lain boleh memutuskan sambungan internet yang penting, sekali gus memperlahankan operasi perniagaan dan menyebabkan seluruh negara terputus bekalan talian selama berminggu-minggu.
Laporan itu turut mengetengahkan satu lagi kelemahan: masyarakat kini semakin bergantung kepada sistem digital tanpa mengekalkan kemahiran analog dan memastikan pilihan sandaran yang mencukupi.
Apabila sistem utama gagal, alternatif luar talian tidak selalunya tersedia lagi.
"Daya tahan mesti dibina ke dalam DNA teknologi yang kita sandarkan," kata Doreen Bogdan-Martin, Setiausaha Agung Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU).
"Laporan ini menggesa kita untuk mempertimbangkan sifat sistemik risiko dan memikirkan semula cara kita melindungi sistem yang menghubungkan dan memperkasakan manusia."
"Memandangkan masyarakat kita semakin bergantung kepada teknologi digital, gangguan yang disebabkan oleh bencana boleh merebak merentasi sistem dan sempadan, mencetuskan kegagalan yang luas dan berpotensi menjadi bencana," kata Kamal Kishore, Wakil Khas Setiausaha Agung PBB bagi Pengurangan Risiko Bencana dan Ketua UNDRR.
"Kita mesti merancang, membina dan menyelenggara infrastruktur digital dengan mengambil kira risiko sistemik – sekarang dan untuk masa hadapan. Infrastruktur digital haruslah linfrastruktur yang berdaya tahan."
Pakar yang dihimpunkan oleh ITU, UNDRR dan Sciences Po di Paris menyeru tindakan bersepadu antara negara untuk meningkatkan ketahanan digital dan melindungi perkhidmatan penting seperti penjagaan kesihatan, kewangan dan tindak balas kecemasan.
-- BERNAMA-XINHUA