KULIM: KULIM, 24 Mac (Bernama) -- Suspek kes tembak di Kampung Permatang Durian, Seberang Paya, Padang Serai di sini, pada 21 Mac lepas mempunyai 13 rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim DSP Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng berkata suspek yang bekerja sebagai pemandu lori dan berusia 42 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Kampung Naga Lilit, Padang Serai, dalam tempoh kurang 24 jam selepas kejadian.
"Turut dirampas sepucuk pistol jenis Revolver 0.38, 10 butir peluru dan kelongsong peluru, kereta jenis Honda Civic berwarna kuning dan telefon bimbit.
"Semakan rekod kesalahan lampau mendapati suspek yang juga warga tempatan itu mempunyai 13 rekod berkaitan jenayah dan dadah. Bagaimanapun ujian saringan air kencing suspek didapati negatif," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kulim, di sini hari ini.
Beliau berkata suspek ditahan pada 12.30 tengah malam pada hari kejadian, dan direman selama enam hari sehingga 26 Mac ini bagi membantu siasatan, manakala motif kejadian masih dalam siasatan.
"Siasatan awal mendapati suspek dan mangsa saling mengenali. Sewaktu kejadian, mangsa yang berusia 32 tahun, dikatakan mahu ke rumah ibunya di Kampung Permatang Durian.
"Saksi kejadian memberitahu berlaku pertengkaran antara kedua-duanya sebelum suspek bertindak melepaskan satu tembakan yang mengenai bahagian lengan kanan dan dada mangsa sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian," katanya.
Tengku Mohd Faisal berkata mangsa yang bekerja sebagai operator kilang itu masih dirawat di Hospital Kulim, dan dilaporkan stabil.
"Laporan awal perubatan mendapati tembakan itu tidak melibatkan organ dalaman yang kritikal. Semakan rekod kesalahan lampau terhadap mangsa pula mendapati terdapat 12 rekod berkaitan jenayah dan dadah," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
"Polis masih menyiasat status pemilikan pistol yang digunakan suspek walaupun suspek mengakui pistol itu miliknya," katanya.
Dalam kejadian awal pagi Sabtu lepas, seorang lelaki dilaporkan cedera selepas terkena tembakan dalam kejadian di Kampung Permatang Durian, Seberang Paya, Padang Serai.
-- BERNAMA