Skip to main content

Malaysia

Sungai Golok semakin cetek, jarak ke Thailand hanya 20 meter

PASIR MAS, 11 Mac -- Penduduk Fadli Mat Yusof, 55, (kanan) bersama rakan Amran Awang, 46, (kiri) meninjau keadaan air Sungai Golok yang surut berikutan cuaca panas berdekatan Pos Ibrahim Pencen hari ini.  Penduduk di kawasan sempadan Rantau Panjang akur dengan arahan pihak berkuasa supaya tidak menyeberangi Sungai Golok walaupun paras air sungai berkenaan kini cetek akibat cuaca panas berpanjangan sejak kebelakangan ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Fadli Mat Yusof (kanan) bersama Amran Awang,) meninjau keadaan air Sungai Golok yang surut berikutan cuaca panas berdekatan Pos Ibrahim Pencen. - Gambar Bernama

PASIR MAS: Sungai Golok yang memisahkan Malaysia dan Thailand di Rantau Panjang kini hanya kira-kira 20 meter dari tebing ke seberang berikutan paras airnya semakin cetek akibat cuaca panas berpanjangan sejak kebelakangan ini.

Walaupun keadaan itu menjadikan jarak ke Thailand kelihatan lebih dekat berbanding kebiasaan, penduduk tempatan tetap mematuhi arahan pihak berkuasa supaya tidak menyeberangi sungai berkenaan.

Wakil penduduk Rantau Panjang, Fadli Mat Yusof, 55, berkata, paras air Sungai Golok mula menunjukkan penurunan ketara sejak bulan lepas apabila kawasan itu dilanda cuaca panas melampau dengan suhu mencecah sehingga 38 darjah Celsius.

Keadaan itu menyebabkan beberapa bahagian sungai hampir kering berikutan kurang taburan hujan  sepanjang tempoh berkenaan.

“Bulan lepas memang panas terik, hujan hampir tiada dan air sungai kelihatan kering. Dalam satu dua hari kebelakangan ini ada juga hujan, tetapi hanya sekejap-sekejap,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurutnya, hujan sejak beberapa hari lepas sedikit sebanyak membantu meningkatkan paras air sungai, namun keadaannya masih cetek berbanding kebiasaan.

Fadli berkata, sebelum ini paras air Sungai Golok lazimnya hampir mencecah tebing sungai, namun kini kelihatan jelas surut berikutan cuaca panas berterusan.

Beliau berkata, kawasan di tepi Sungai Golok yang dahulunya agak sibuk dengan pergerakan penduduk kini semakin lengang selepas laluan di sempadan dipagar oleh pihak berkuasa bagi mengekang aktiviti menyeberangi sungai secara tidak sah.

“Dulu kawasan ini agak sibuk, tetapi sekarang sudah sunyi selepas sempadan dipagar. Pos lain sudah dipasang pagar dan Pos Ibrahim Pencen juga akan dipagar nanti,” katanya.

Menurutnya pemasangan pagar di beberapa lokasi di sepanjang sempadan itu menyebabkan pergerakan menyeberangi sungai tidak lagi berlaku seperti sebelum ini.

Katanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut melakukan pemantauan secara berkala termasuk rondaan menggunakan motosikal dan dron bagi memastikan tiada aktiviti menyeberangi sungai secara tidak sah.

Sementara itu, seorang penternak haiwan, Amran Awang, 46, berkata, perubahan paras air Sungai Golok merupakan perkara biasa yang berlaku di kawasan berkenaan.

Beliau yang tinggal berhampiran tebing sungai berkata paras air sungai biasanya meningkat sedikit ketika hujan sebelum kembali surut apabila cuaca panas berterusan.

“Masyarakat setempat mematuhi arahan pihak berkuasa dan tidak lagi menggunakan sungai sebagai laluan untuk menyeberang ke seberang seperti yang pernah berlaku suatu ketika dahulu,” katanya.

Sehubungan itu, tinjauan Bernama di kawasan Pos Ibrahim Pencen mendapati tebing Sungai Golok yang sebelum ini menjadi antara laluan tidak rasmi penduduk kini kelihatan lengang tanpa sebarang aktiviti menyeberangi sungai.

Laluan di kawasan itu juga telah dipagar oleh pihak berkuasa bagi menghalang orang ramai menghampiri tebing sungai yang pernah menjadi titik pergerakan penduduk sebelum ini.

Paras air sungai yang cetek turut memperlihatkan beberapa bahagian dasar sungai yang kebiasaannya ditenggelami air kini jelas kelihatan, manakala jarak antara tebing Malaysia dan Thailand juga kelihatan lebih dekat berbanding kebiasaan.

Bagaimanapun, kehadiran pihak berkuasa yang melakukan pemantauan berkala memastikan kawasan itu kekal terkawal dan sunyi daripada sebarang aktiviti merentas sempadan secara tidak sah.

Pada Isnin lepas, Bernama melaporkan Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia memperketat kawalan di sepanjang sempadan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas berikutan sungai itu semakin cetek akibat musim kemarau.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata langkah itu diambil bagi mengekang aktiviti penyeludupan termasuk dadah dan senjata api yang mungkin mengambil kesempatan daripada keadaan geografi semasa.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video