PETALING JAYA: Suami isteri yang juga pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas dua pertuduhan berasingan membabitkan penjualan aplikasi penstriman televisyen melalui internet (IPTV) yang memberikan capaian kepada kandungan berhak cipta tanpa kebenaran melibatkan kandungan Astro.
Leong Chin Wang dan isterinya, Hoo Sheau Lew, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Syahliza Warnoh di Mahkamah Sesyen 4, manakala pertuduhan terhadap syarikat mereka, Alula Marketing Sdn Bhd, dikemukakan di Mahkamah Sesyen 1 di hadapan Hakim Noor Ruzilawati Mohd Nor.
Mengikut pertuduhan pertama terhadap individu, pasangan itu didakwa bersama-sama pada 10 Feb lalu, menjalankan aktiviti perniagaan penjualan akses kepada aplikasi MYIPTV4K melalui akaun e-dagang popular, "Unimax Pro" yang memberikan capaian kepada kandungan siaran berhak cipta milik Astro tanpa kebenaran.
Bagi satu lagi pertuduhan terhadap syarikat milik mereka, Alula Marketing Sdn Bhd didakwa atas kesalahan serupa yang dilakukan di premis beralamat di E-3-1, Pusat Perniagaan Bukit Serdang, Jalan BS 14/3, Seri Kembangan, Selangor.
Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 43AA(1)(c) Akta Hak Cipta 1987 (Pindaan 2022) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 43AA(2) akta sama yang memperuntukkan denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM200,000, atau penjara maksimum 20 tahun, atau kedua-duanya sekali.
Peguam bela Kailash Sharma yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan yang munasabah.
Hakim Syahliza kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia berserta syarat tambahan termasuk melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai dan tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan sepanjang prosiding.
Bagi satu lagi pertuduhan, Hakim Noor Ruzilawati tidak mengenakan jaminan selepas Kailash yang mewakili tertuduh membantah keperluan jaminan bagi kerana ia melibatkan syarikat, dan bukan individu.
Mahkamah menetapkan 25 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pada 10 Februari lalu, operasi tangkapan dijalankan oleh Bahagian Risikan/Operasi serta Bahagian Siasatan Jenayah Siber & Multimedia Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dengan kerjasama Biro Pusat Kebangsaan Interpol Kuala Lumpur, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Astro melalui serbuan di tiga lokasi berbeza di sekitar Seri Kembangan.
Dalam serbuan itu, pelbagai peralatan digital termasuk komputer, komputer riba dan telefon bimbit yang digunakan untuk menguruskan jualan aplikasi telah dirampas.