Skip to main content

Malaysia

Ikhlas jaga ibu, wanita OKU penglihatan bersyukur terpilih tunai haji

MADINAH, 22 April (Bernama) -- Keikhlasan menjaga ibu dengan penuh kasih sayang meskipun dengan keterbatasan dirinya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) penglihatan sejak kecil, mungkin menjadi "asbab" untuk Siti Hadijah Abu Bakar dipilih menjadi tetamu Allah pada musim haji kali ini.
Siti Hadijah (kiri) menganggap keikhlasan menjaga Allahyarham ibunya itu mungkin menjadi asbab dia terpilih untuk menunaikan haji pada tahun ini. - Gambar/ Bernama

MADINAH: Walaupun berstatus orang kurang upaya (OKU) penglihatan, Siti Hadijah Abu Bakar, 50, tidak menjadikan kekurangan dirinya sebagai penghalang untuk berbakti menjaga ibunya dengan penuh kasih sayang sepanjang hayat wanita itu.

Baginya, itu sahajalah cara untuk membalas jasa ibunya yang berkorban segala-galanya untuk membesarkan dia dan tujuh adik-beradiknya, dengan enam daripada mereka mengalami masalah penglihatan.

Justeru, dia menganggap keikhlasan menjaga Allahyarham ibunya itu mungkin menjadi asbab dia terpilih untuk menunaikan haji pada tahun ini.

Katanya, peluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci bukan sekadar rezeki malah dia percaya jemputan bagi menunaikan rukun Islam kelima tersebut merupakan rahmat yang hadir bersama doa seorang ibu yang tidak pernah putus.

“Saya betul-betul tak sangka boleh sampai ke sini. Ini semua dengan izin Allah,” katanya dengan nada sebak ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Dilahirkan dalam keluarga serba kekurangan, Siti Hadijah yang mesra disapa 'Kak Jah' berkongsi kisah tidak menjadikan kekurangan diri sebagai alasan untuk mengabaikan tanggungjawab menjaga ibu, dan pada masa sama membesarkan lima orang cahaya matanya.

“Kak Jah hanya menjalankan tugas seorang anak yang berkhidmat untuk mak sampai akhir hayat. Kak Jah tidak mahu apa-apa balasan sebab bantu mak, biarlah Allah yang balas,” katanya.

Lebih menyentuh hati, perjalanan suci Siti Hadijah ditemani seorang insan yang tidak mempunyai pertalian darah namun hadir sebagai ‘mata dan telinga’ buat dirinya sepanjang berada di Tanah Suci.

Insan berkenaan, Nur Asma A Samat, 40, merupakan guru besar di Pusat Tahfiz Al-Hidayah, Jalan Gurney, Kuala Lumpur, yang merupakan pusat pengajian anak Siti Hadijah.

Hubungan yang bermula antara ibu dan guru itu kemudian berkembang menjadi persahabatan erat, hingga membawa mereka bersama-sama ke Tanah Suci.

“Kalau bukan kerana pertolongan dia, mungkin saya tidak sampai ke sini,” kata Nur Asma

Nur Asma menyifatkan peluang menemani Siti Hadijah sebagai satu ketentuan dan amanah besar daripada Allah SWT selepas hasratnya untuk menunaikan haji yang dipendam sejak 2017 akhirnya dimakbulkan melalui rayuan kali ketiga tahun ini.

“Alhamdulillah, rayuan kami diterima dan saya percaya mungkin kerana (keberkatan) Kak Jah juga Allah membuka jalan untuk kami sampai ke sini,” katanya.

 

 

Must Watch Video