KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan telah menerima laporan berhubung kes anak kepada pelakon Ako Mustapha yang mendakwa menjadi mangsa buli di sebuah sekolah di Wangsa Maju, ibu negara.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Annas Sulaiman berkata, setakat ini tiada kertas siasatan dibuka dan kes masih dalam penelitian pihak polis.
"Kita ada terima laporan. (Bagaimanapun) setakat ini tiada sebarang kertas siasatan dibuka," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.
Ako Mustapha atau nama sebenarnya Muhaizad Ahmad Mustapha mendakwa anaknya, Mika, menjadi mangsa buli dalam kejadian yang dipercayai berlaku pada Selasa.
Menerusi hantaran dimuat naik di platform media sosial, Threads, Ako memaklumkan insiden itu dipercayai membabitkan lima murid, terdiri daripada dua pelajar senior dan tiga rakan sekelas anaknya.
Menurutnya, kejadian hanya disedari selepas anaknya yang berusia 10 tahun itu pulang dari sekolah dan selesai mandi sebelum menunjukkan kesan lebam pada tubuh.
Anaknya mendakwa dipukul dengan kesan kecederaan termasuk kesan tapak kasut dan tumbukan pada beberapa bahagian badan.
Ako berkata, semua gambar dan video kecederaan telah dihantar kepada guru kelas, selain anaknya dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur selepas menjalani pemeriksaan di klinik kerajaan.