RIYADH: Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam Arab Saudi terus mengerahkan semua keupayaan sebagai persediaan menghadapi musim Haji 1447H/2026.
Usaha itu sebahagian usaha bersepadu demi memastikan pengalaman perjalanan yang lancar dan selamat untuk jemaah, selaras dengan piawaian antarabangsa tertinggi, lapor Agensi Akhbar Saudi (SPA).
Pihak berkuasa berkenaan mengesahkan kesediaan untuk meningkatkan kecekapan operasi pada musim ini dengan menyediakan lebih 3.1 juta tempat duduk bagi penerbangan masuk dan keluar serta mengendalikan lebih 12,000 penerbangan berjadual dan sewa melalui enam lapangan terbang utama.
Lapangan terbang utama ialah Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah, Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad bin Abdulaziz di Madinah, Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh, Lapangan Terbang Antarabangsa King Fahd di Dammam, Lapangan Terbang Antarabangsa Taif dan Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Abdulmohsin bin Abdulaziz di Yanbu.
Usaha tersebut adalah sebahagian rangka kerja bersepadu yang dijalankan dalam penyelarasan dengan entiti berkaitan.
Hal ini sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji dan membolehkan mereka melaksanakan ibadah mereka dengan mudah dan tenang, selaras dengan matlamat Wawasan Saudi 2030 ke arah meningkatkan kualiti perkhidmatan yang disediakan kepada jemaah haji dan umrah.
-- BERNAMA-SPA