GEORGE TOWN: Penganjur acara larian yang menyaksikan seorang peserta meninggal dunia akibat strok haba, didapati telah mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Belia dan Sukan Pulau Pinang Daniel Gooi Zi Sen berkata penganjur telah menyediakan keperluan asas, termasuk stesen bekalan air mencukupi dan pasukan perubatan sepanjang laluan, malah bertindak pantas selepas mengesan mangsa berada dalam keadaan tidak sihat.
“Mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun dari Tampin, Negeri Sembilan berjaya menamatkan larian kategori 30 kilometer sebelum rebah, dan pasukan perubatan terus membawanya ke hospital untuk rawatan, namun mangsa disahkan meninggal dunia di hospital,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Komtar, hari ini.
Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) semalam melaporkan seorang lelaki meninggal dunia disebabkan strok haba yang dilaporkan pada 26 April, selepas mangsa menyertai satu acara larian kategori sejauh 30 kilometer.
Mengulas lanjut, Gooi berkata pematuhan SOP ialah syarat utama bagi kelulusan mana-mana acara sukan di negeri ini, khususnya penyediaan pasukan perubatan.
“Setakat ini, liputan paramedik dalam acara sukan di Pulau Pinang adalah mencukupi dan menasihatkan orang ramai yang menyertai aktiviti sukan supaya sentiasa peka dengan tahap kesihatan diri, kekal terhidrat dan tidak memaksa diri melepasi kemampuan,'' katanya.
Sementara itu, beliau berkata Pulau Pinang setakat ini bebas daripada jangkitan malaria monyet, namun perkara ini sentiasa dipantau rapi oleh pihak JKNPP.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata Sabah merekodkan 357 kes malaria monyet dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini dengan satu kematian dilaporkan.
-- BERNAMA