Skip to main content

Malaysia

Sindiket dadah guna inap desa terbongkar, rampasan RM16.8 juta terbesar di Sarawak

KUCHING, 23 April -- Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah (empat, kanan) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media berkaitan kejayaan polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM16 juta di Ibu Pejabat Kontinjen Sarawak, hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mohamad Zainal (empat, kanan) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media berkaitan kejayaan polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM16 juta di Ibu Pejabat Kontinjen Sarawak, hari ini. - Gambar Bernama

KUCHING: Sindiket dadah yang menyewa premis inap desa sebagai pusat pembungkusan dan penyimpanan terbongkar melibatkan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM16.8 juta, dalam dua serbuan berasingan di sekitar Kuching bulan ini, iaitu yang terbesar direkodkan di Sarawak setakat ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata dalam kes pertama, seorang lelaki dan wanita masing-masing berusia 41 dan 31 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah inap desa di Santubong pada 7 April lepas.

“Hasil pemeriksaan di lokasi berkenaan membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah disyaki Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 107.5 kilogram (kg), ketamin (1.3 kg), pil Erimin 5 (180 gram), pil ekstasi (102 gram) dan syabu (28 gram).

“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM16.2 juta dan dipercayai boleh digunakan 16,952 penagih dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini hari ini.

Beliau berkata sindiket berkenaan dikesan aktif sejak awal bulan ini dan menggunakan beberapa premis inap desa sebagai lokasi sementara untuk menjalankan aktiviti pembungkusan sebelum berpindah ke lokasi lain bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Mohamad Zainal berkata kedua-dua suspek yang merupakan pasangan kekasih dipercayai berperanan membungkus serta mengedarkan dadah ke lokasi ditetapkan ahli sindiket lain melalui aplikasi WhatsApp.

“Mereka menerima bayaran kira-kira RM3,000 sebulan serta komisen RM5 bagi setiap peket dadah yang berjaya dibungkus,” katanya sambil menambah polis turut menyita sebuah kenderaan dianggarkan bernilai RM15,000 serta wang tunai RM1,856.

Menurutnya, kejayaan itu hasil operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN IPK Sarawak.

Semakan mendapati wanita yang ditahan mempunyai tiga rekod jenayah lampau manakala kedua-dua suspek didapati negatif dadah.

Kedua-dua suspek telah dituduh di Mahkamah Majistret Kuching pada 20 April lepas dengan empat pertuduhan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, satu pertuduhan di bawah Seksyen 39A(1) akta sama serta dua pertuduhan di bawah Seksyen 12(2) akta berkenaan.

Dalam kes kedua, beliau berkata polis menahan dua lelaki tempatan berumur 28 dan 38 tahun dalam satu operasi di sekitar Jalan Setia Raja pada 19 April lepas, hasil maklumat risikan bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).

Pemeriksaan ke atas suspek membawa kepada penemuan 1,281 peket katrij rokok elektronik disyaki mengandungi cecair ganja dengan anggaran berat keseluruhan 3.2 kg bernilai RM576,450.

“Kedua-dua suspek dipercayai berperanan sebagai runner dan transporter dalam rangkaian sindiket terbabit serta menerima bayaran kira-kira RM8,000 bagi setiap penghantaran,” katanya, dan menambah kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. 

Menurutnya, kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan didapati negatif dadah, manakala polis turut menyita sebuah kenderaan bernilai kira-kira RM12,000.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad Zainal berkata pendekatan “Tiada Hari Tanpa Tangkapan” yang dilaksanakan kontinjen Sarawak menunjukkan hasil positif dengan 5,151 tangkapan berkaitan dadah direkodkan bagi tempoh 1 Jan hingga 19 April tahun ini berbanding 3,728 bagi tempoh sama tahun lepas,

Beliau berkata nilai rampasan dadah dan racun bagi tempoh sama turut melonjak kepada RM31.9 juta berbanding RM3.1 juta tahun lepas, peningkatan sebanyak 913.7 peratus.

-- BERNAMA

Must Watch Video