Skip to main content

Malaysia

Henti politikkan FWCMS, sistem berjaya pecahkan kartel pemerdagangan pekerja asing - Bestinet

FWCMS
Pembangunan FWCMS melibatkan lebih 500 sesi libat urus bersama agensi kerajaan selain mengambil kira cadangan badan antarabangsa termasuk Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM). - Gambar FWCMS

KUALA LUMPUR: Bestinet Sdn Bhd (Bestinet) menegaskan sistem Foreign Workers Centralized Management System (FWCMS) yang dibangunkan syarikat itu berjaya memecahkan kartel serta menutup ruang eksploitasi dalam pengurusan pekerja asing di negara ini.

Menerusi kenyataan firma guamannya, Lui & Bhullar, syarikat yang diasaskan Datuk Seri Aminul Islam Abdul Nor itu memaklumkan kritikan terhadap FWCMS ketika ini tidak mencerminkan perbahasan dasar yang dibuat secara objektif, sebaliknya didakwa bermotifkan kepentingan politik.

Menurutnya, dakwaan yang dibangkitkan juga tidak tepat kerana berasaskan data terpilih dan di luar konteks sebenar.

“Penentangan ini bukan berasaskan prinsip tadbir urus baik, sebaliknya usaha mempertahankan ekosistem kewangan lama yang mengaut keuntungan daripada eksploitasi pekerja migran.

“Bestinet tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap sebarang kenyataan palsu, mengelirukan atau berunsur fitnah,” menurut kenyataan itu.

Mengulas lanjut, syarikat itu menjelaskan sebelum pelaksanaan FWCMS, pengurusan pekerja asing di Malaysia bersifat manual, tidak bersepadu dan terdedah kepada penyalahgunaan termasuk pemalsuan dokumen serta manipulasi kuota.

Keadaan itu katanya, membuka ruang kepada kewujudan orang tengah dan bayaran tidak sah, selain menyebabkan kebocoran kewangan mencecah berbilion ringgit setiap tahun.

“FWCMS dibangunkan bagi menangani isu ini melalui sistem digital bersepadu yang mempunyai jejak audit dan tahap akauntabiliti lebih tinggi,” menurut kenyataan itu.

Menurut Bestinet, sistem tersebut merupakan platform tadbir urus rentas sempadan dengan 15 modul yang menghubungkan 15 negara sumber tenaga kerja, 232 pusat perubatan bertauliah serta agensi kerajaan berkaitan dalam satu ekosistem.

Jelasnya, pembangunan FWCMS melibatkan lebih 500 sesi libat urus bersama agensi kerajaan selain mengambil kira cadangan badan antarabangsa termasuk Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM).

Sistem itu turut menerima kelulusan kerajaan melalui Surat Setuju Terima (SST) pada 2018 serta perjanjian konsesi pada 2024 selepas melalui penilaian menyeluruh termasuk oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).

Dalam pada itu, Bestinet menafikan dakwaan bahawa kadar bayaran meningkat, sebaliknya menjelaskan struktur baharu telah menyerap pelbagai kos perkhidmatan berasingan sebelum ini, sekali gus mengurangkan kos keseluruhan.

Syarikat itu juga menegaskan perkhidmatan FWCMS disediakan tanpa sebarang kutipan bayaran sepanjang tempoh 2012 hingga 2018.

Dari sudut pengiktirafan, FWCMS pernah menerima anugerah antarabangsa termasuk World Summit Award Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2017 di Vienna, Austria.

Mengulas mengenai inisiatif TURAP sebagai fasa seterusnya, Bestinet berkata platform itu dibangunkan bagi menangani isu eksploitasi di peringkat sumber pengambilan pekerja yang disifatkan paling berisiko.

“TURAP melengkapi sistem sedia ada seperti FWCMS, MyIMMS dan NIISe, bukannya menggantikan,” katanya.

Dalam masa sama, Bestinet memberi jaminan aspek keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara apabila pemilikan penuh sistem FWCMS akan dipindahkan kepada kerajaan selepas tamat tempoh perjanjian.

“Semua keputusan berkaitan FWCMS sejak 2012 dibuat melalui proses institusi yang ketat melibatkan pelbagai agensi serta penilaian berasaskan bukti.

“Dakwaan kononnya keputusan ini dibuat secara tidak teratur adalah tidak berasas dan boleh menjejaskan integriti proses kerajaan,” katanya.

 

Must Watch Video