KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi tumpuan serius terhadap isu integriti dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi menghadapi cabaran era digital yang semakin berkembang pesat.
Langkah ini diambil bagi memastikan teknologi tersebut tidak disalah guna serta tidak menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap sistem tadbir urus negara.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, beberapa jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi menilai kesan penggunaan AI terhadap aspek integriti.
Menurut beliau, satu kajian khusus dikenali sebagai “AI Paradox” turut dilaksanakan bagi mengenal pasti risiko serta langkah pencegahan yang perlu diambil.
"Usaha tersebut dilihat sebagai sebahagian daripada pendekatan kerajaan dalam memperkukuh tadbir urus teknologi baharu agar lebih berkesan dan selamat.
“Jadi kami sedang dalam proses untuk melihat sama ada kami boleh menambah perkara yang kami rasa boleh memberi kesan dan risiko pada masa hadapan,” katanya kepada media ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Hadir Bual Bicara Integriti Bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-22 Institut Integriti Malaysia di Auditorium Integriti di sini, pada Khamis.
Beliau yang juga Pengerusi Institut Integriti Malaysia (IIM) juga berkata, integriti tidak hanya bergantung kepada sistem dan peraturan semata-mata, sebaliknya perlu bermula daripada sikap, nilai dan pegangan diri setiap individu dalam melaksanakan tanggungjawab.
"Integriti ini perlu di hati dan dijadikan asas utama dalam membentuk budaya kerja dan penggunaan teknologi.
"Nilai tersebut juga perlu diterapkan dalam semua aspek, termasuk dalam pembangunan dan penggunaan sistem berasaskan AI," katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata, kerajaan akan terus memperkukuh dasar serta mekanisme pemantauan bagi memastikan pembangunan AI dilaksanakan secara beretika.
Usaha ini diharap dapat memastikan teknologi berkenaan memberi manfaat kepada negara tanpa mengabaikan prinsip integriti dan tanggungjawab.
Dalam majlis berkenaan turut diadakan majlis pelancaran buku yang menterjemahkan sokongan padu pucuk pimpinan tertinggi terhadap agenda integriti negara.
Antara lain, Shamsul Azri turut menyempurnakan majlis Memorandum Persefahaman (MoU) antara IIM dan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), sebagai kesinambungan agenda integriti dalam kalangan generasi muda.