Skip to main content

Malaysia

Siasatan aduan seleweng, salah guna kuasa pertubuhan di Kelantan selesai - JPPM

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia
JPPM menyeru orang ramai dan pihak berkepentingan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak disahkan kerana boleh menjejaskan integriti proses siasatan serta reputasi pihak-pihak yang terlibat.

PUTRAJAYA: Siasatan terhadap aduan penyelewengan serta salah guna kuasa melibatkan beberapa pertubuhan di Kelantan yang diterima pada 2017 dan 2018 telah diselesaikan pada tahun yang sama selaras dengan peruntukan di bawah Akta Pertubuhan 1966, menurut Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Dalam kenyataan hari ini, JPPM memaklumkan siasatan berkenaan merangkumi penelitian dokumen berkaitan serta representasi daripada beberapa pihak terlibat, dengan tindakan penguatkuasaan yang bersesuaian telah diambil terhadap pertubuhan berkaitan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada selain pemakluman rasmi disampaikan kepada pengadu berhubung hasil siasatan itu.

“JPPM telah menerima aduan bertulis berkaitan isu pengurusan kewangan dan tadbir urus pertubuhan pada 2017 dan 2018. 

"Setiap aduan yang diterima telah direkodkan secara rasmi dan siasatan menyeluruh telah dijalankan serta diselesaikan pada tahun yang sama, selaras dengan peruntukan di bawah Akta Pertubuhan 1966, perlembagaan pertubuhan serta prosedur pentadbiran yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.

Media sebelum ini melaporkan seorang bekas bendahari sebuah pertubuhan di Kelantan menggesa siasatan dijalankan terhadap dakwaan penyelewengan serta salah guna kuasa melibatkan pengurusan kewangan beberapa pertubuhan, termasuk mendakwa aduan telah dikemukakan kepada JPPM sejak 2017, namun belum menerima maklum balas.

Kenyataan itu memaklumkan bahawa JPPM sentiasa bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain termasuk Polis Diraja Malaysia serta agensi berkaitan sekiranya diperlukan bagi memastikan setiap aduan ditangani secara menyeluruh, telus dan adil.

Sehubungan dengan itu, JPPM menyeru orang ramai dan pihak berkepentingan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak disahkan kerana boleh menjejaskan integriti proses siasatan serta reputasi pihak-pihak yang terlibat. 

"Sebarang pertanyaan lanjut hendaklah disalurkan melalui saluran rasmi jabatan," menurut kenyataan itu.

JPPM menegaskan bahawa jabatan itu tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku serta kekal komited dalam memastikan ketelusan, akauntabiliti dan integriti dalam pengurusan serta pemantauan pertubuhan demi kepentingan awam.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video