Skip to main content

Malaysia

Serangan Balai Polis Ulu Tiram: Polis dengar ibu suspek kata ‘Alhamdulillah’

Keadaan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru selepas berlaku kejadian dua anggota polis maut ditembak, sementara seorang lagi anggota parah pada Mei 2024._Sinar Harian
Keadaan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru selepas berlaku kejadian dua anggota polis maut ditembak, sementara seorang lagi anggota parah pada Mei 2024. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: “Alhamdulillah, baguslah tu.”

Itu reaksi ibu kepada suspek serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru, Rosna Jantan, yang mengorbankan dua anggota polis pada 17 Mei 2024, kata seorang saksi ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat.

Pegawai Risikan dan Operasi D9, Unit Jenayah Siasatan Khas, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Asisten Superintenden (ASP) Cassidy Banta berkata, perkara itu didengari ketika serbuan dilakukan di kediaman wanita berkenaan di Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram kira-kira jam 7 pagi pada hari kejadian.

Menurutnya, Rosna, 62, yang juga warga Singapura, meluahkan kata-kata tersebut sejurus pihak polis memasuki rumahnya.

Tambah beliau, suami kepada wanita itu, Radin Imran Radin Mohd Yassin, 64, turut menyatakan kekesalan kerana tidak diajak bersama oleh anaknya.

“Dia (Radin Imran) berkata, ‘saya cuma kesal kerana dia (penyerang) tidak mengajak saya ikut bersama’,” katanya.

Perbicaraan hari keempat itu melibatkan sembilan pertuduhan berkaitan keganasan yang dihadapi Rosna bersama empat ahli keluarganya.

Cassidy yang ketika kejadian bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai berkata, pasukan polis bertindak ke rumah berkenaan hasil semakan terhadap sebuah motosikal jenis Honda yang dipercayai digunakan suspek semasa serangan.

Katanya, motosikal itu didaftarkan atas nama abang penyerang, Radin Romyullah Radin Imran, 36.

Menurutnya, pasukan kemudian menuju ke alamat berkenaan yang dipercayai kediaman suspek, Radin Luqman Radin Imran, 21, yang maut ditembak di lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan di rumah itu, kami menemui beberapa buku latihan tertera atas nama Radin Luqman dan ahli keluarga lain, termasuk buku berkaitan jihad.

“Pemeriksaan di bilik ketiga yang dijadikan stor turut menemukan beberapa senapang angin pelbagai saiz.

“Turut dirampas ialah beberapa batang paip PVC (polivinil klorida) yang dipercayai digunakan untuk menghasilkan senapang angin,” katanya.

Beliau berkata, susulan itu, semua penghuni rumah berkenaan ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mereka ialah Radin Imran dan Rosna serta tiga anak mereka, Radin Romyullah, Mariah, 20, dan Farhah Sobrina, 25.

Dalam kejadian itu, dua konstabel, Allahyarham Ahmad Azza Fahmi Azhar, 24, dan Allahyarham Muhamad Syafiq Ahmad Said, 26, terkorban, manakala Koperal Mohd Hasif Roslan, 40 (kini Sarjan), cedera ditembak.

Penyerang lelaki terbabit bagaimanapun ditembak mati di lokasi kejadian.

Cassidy turut memberitahu, beliau antara anggota terawal tiba di tempat kejadian selepas menerima arahan pada jam 3.30 pagi.

Katanya, semua anggota menunggu di luar pagar balai sebelum dibenarkan masuk selepas kehadiran pasukan taktikal.

“Sebaik masuk ke balai pada waktu subuh, saya melihat tiga mayat bergelimpangan.

“Satu mayat berpakaian seragam polis ditemui di parkir motosikal balai, manakala dua lagi di tepi pagar berhampiran kenderaan perisai polis,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Radin Imran mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan termasuk menyemai ideologi keganasan, memberi sokongan kepada perbuatan pengganas serta memiliki senjata api dan bahan berkaitan kumpulan pengganas.

Rosna pula didakwa atas satu pertuduhan gagal memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan antara April 2017 hingga 17 Mei 2024 di Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru.

Sementara itu, Radin Romyullah mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memberi sokongan dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh.

Farhah Sobrina dan Mariah turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja enggan memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan.

Perbicaraan di hadapan Hakim, Nurulhuda Nur'aini Mohamad Nor, bersambung pada 27 April depan. - Sinar Harian

 

Must Watch Video