Skip to main content

Malaysia

Selangor garis lima resolusi bantu usahawan wanita depani krisis bekalan global

SHAH ALAM, 29 April -- Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Anfaal Saari (kiri), pada sidang media mengenai analisis serta strategi mitigasi impak krisis Asia Barat terhadap usahawan dan pemberdayaan ekonomi wanita di Wisma Dewan Negeri Selangor hari ini.  Kerajaan Negeri Selangor menggariskan lima resolusi bagi membantu 45,993 usahawan wanita menghadapi cabaran semasa susulan gangguan bekalan global akibat konflik di Asia Barat.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Anfaal (kiri), pada sidang media mengenai analisis serta strategi mitigasi impak krisis Asia Barat terhadap usahawan dan pemberdayaan ekonomi wanita di Wisma Dewan Negeri Selangor hari ini. - Gambar Bernama

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor menggariskan lima resolusi bagi membantu 45,993 usahawan wanita berdepan cabaran semasa susulan krisis bekalan global dunia kesan daripada konflik di Asia Barat.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat negeri Anfaal Saari berkata kesemua resolusi itu dicapai dalam Perbincangan Meja Bulat 2 (RTD) bertemakan “Krisis Asia Barat-Impak Terhadap Usahawan dan Pemberdayaan Ekonomi Wanita,”  yang dilaksanakan oleh anak syarikat kerajaan negeri, Wanita Berdaya Selangor (WBS) di sini pagi tadi.

Anfaal berkata RTD berkenaan antaranya membincangkan kesan semasa serta strategi mitigasi terhadap impak krisis tersebut ke atas usahawan dan pemberdayaan ekonomi wanita.

"RTD ini menjadi platform strategik untuk meneliti cabaran semasa yang dihadapi oleh ekosistem keusahawanan, termasuk peningkatan kos operasi, gangguan rantaian bekalan global serta tekanan terhadap kelangsungan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang diketuai oleh wanita,” katanya dalam sidang media di Wisma Dewan Negeri Selangor hari ini.

Lima resolusi berkenaan adalah integrasi ekosistem dan portal usahawan berpusat; transformasi budaya kerja melalui amalan kerja mesra keluarga; dan pendigitalan pintar.  

Selain itu, penguasaan kecerdasan buatan (AI) dalam mendepani ketidaktentuan global; dan penilaian impak melalui survei keperluan pantas dan peralihan daripada ekonomi subsidi kepada ekonomi mampan dan berdaya tahan.

Anfaal berkata perbincangan RTD itu turut memberi tumpuan kepada cabaran struktur yang dihadapi usahawan wanita, termasuk akses kepada pembiayaan pertumbuhan, pasaran bernilai tinggi, jurang digital serta keupayaan meningkatkan skala perniagaan. 

"Dalam masa sama, penekanan diberikan kepada keperluan memperkukuh kerjasama rentas agensi dalam aspek pembiayaan, latihan, pembangunan kapasiti, pemerkasaan digital serta inovasi perniagaan bagi memastikan daya tahan ekonomi yang lebih mampan.

"Cadangan dan input yang dikemukakan dalam sesi ini akan dijadikan rujukan oleh kerajaan negeri Selangor dalam merangka pendekatan dasar yang komprehensif, responsif gender dan berimpak tinggi,  khususnya dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan wanita dan belia," katanya.  

-- BERNAMA

Must Watch Video