Skip to main content

Malaysia

Sebanyak 1,912 mangsa kebakaran Kampung Bahagia ditempatkan di lapan PPS

Mangsa kebakaran di perkampungan atas air Kampung Bahagia Nurjaima Kassim menguruskan anaknya Nuraina Munira yang berusia 28 hari di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Projek Perumahan Rakyat Batu Sapi, Sandakan.
Mangsa kebakaran menguruskan anaknya di PPS Dewan Projek Perumahan Rakyat Batu Sapi. - Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Sebanyak 1,912 mangsa daripada 385 keluarga yang terjejas dalam tragedi kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 8 pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan mangsa ditempatkan di PPS Dewan Program Perumahan Rakyat Batu Sapi, Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Gas, Dewan SK Kampung Bahagia, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Sapi, Dewan Sibuga, dan SK Karamunting yang dibuka pada Ahad lepas.

"Dua lagi PPS telah dibuka pada Isnin, iaitu Dewan Serbaguna Warga Tua dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tiong Hwa. Trend mangsa yang ditempatkan di PPS pagi ini meningkat," menurut kenyataan itu hari ini.

Kenyataan berkenaan memaklumkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.

Pada Ahad, kebakaran besar di perkampungan atas air Kampung Bahagia, Sandakan memusnahkan kira-kira 1,000 rumah, melibatkan kawasan seluas lebih empat hektar.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video