Skip to main content

Malaysia

Sarapan percuma di 873 sekolah di Selangor untuk ringankan perbelanjaan ibu bapa

AMIRUDIN SHARI
Amirudin berkata bantuan menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor itu akan disalurkan bermula Ogos ini. - Gambar Astro AWANI/Shahir Omar

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor melalui 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan memberikan bantuan sarapan percuma kepada pelajar di kesemua 873 sekolah bagi meringankan perbelanjaan ibu bapa susulan krisis tenaga global.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata bantuan menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor itu akan disalurkan bermula Ogos ini.

"Setiap hari, satu sekolah di setiap PBT akan disalurkan bantuan ini...kita akan menggilir sekolah-sekolah dan ia akan dilaksanakan untuk semua tahap.

"Kita akan laksanakan kerana kita akan memperuntukkan satu PBT RM1 juta buat masa ini dalam tempoh berapa bulan, misalnya dalam tiga bulan pertama dan kita akan melanjutkan jika ia memberikan kesan yang baik kepada masyarakat.

"Saya nak pastikan juga kualiti makanannya itu makanan yang baik, berprotein ataupun bergizi yang baik untuk tidak mengganggu tumbesaran mereka," katanya pada sidang media khas berhubung Strategi Persediaan Kerajaan Negeri Selangor Mendepani Krisis Asia Barat di Wisma Dewan Negeri Selangor hari ini.

Sementara itu, Amirudin berkata menerusi pakej sama, kerajaan negeri akan memperuntukkan RM25 juta untuk menampung kos bahan api ataupun input pertanian, sebagai sokongan kepada pesawah, nelayan, petani, dan penternak yang menerima kesan daripada harga bahan api seperti diesel yang tinggi.

"Misalnya, 18,000 pesawah akan diberikan RM500 bagi setiap hektar tanah diusahakan untuk satu musim tanaman, manakala 2,000 nelayan akan diberikan bantuan RM300 sebulan untuk tempoh enam bulan agar kos peningkatan diesel tidak memberikan kesan yang terlampau teruk kepada mereka.

"Begitu juga untuk petani, penternak dan pengusaha akuakultur, sebanyak RM450 akan disalurkan setiap bulan untuk tempoh enam bulan agar input pertanian dapat terus ditampung dan tidak memberikan kesan yang akan meningkatkan harga barang," katanya.

Terdahulu, Amirudin berkata kerajaan negeri akan melancarkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Jun ini yang merangkumi beberapa langkah jangka segera dan sederhana untuk membantu rakyat dan industri menghadapi krisis tenaga global melibatkan peruntukan RM130.42 juta.

Ditanya mengenai peruntukan diperoleh itu, Amirudin berkata ia adalah peruntukan negeri yang disusun balik daripada peruntukan belanjawan tahun 2026 mengikut keperluan.

"Contohnya kita dah jimatkan dekat RM1 juta sebab kita tidak laksanakan rumah terbuka dan kita ada mengehadkan beberapa pergerakan ke luar negara.

"Semalam ada beberapa langkah penjimatan yang sebenarnya diluluskan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang akan dapat menjimatkan hampir RM200 juta daripada keseluruhan belanjawan 2026 dan kita percaya kita boleh laksanakan sepenuhnya bantuan ini dengan RM130 juta dilaksanakan sekarang," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video