Skip to main content

Malaysia

Ribuan jemaah seluruh negara imarahkan solat sunat Aidiladha

PUTRAJAYA, 27 Mei -- Para jemaah selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Putra hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Para jemaah selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Putra, Putrajaya, hari ini. --fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Umat Islam di seluruh negara hari ini menyambut Aidiladha dengan penuh kesyukuran, yang menyaksikan ribuan jemaah termasuk pemimpin mengimarahkan masjid untuk bersama-sama bertakbir dan menunaikan solat sunat Aidiladha.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta lebih 10,000 jemaah menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Putra, Putrajaya dengan khutbah bertajuk “Pengorbanan Menuntut Keikhlasan” disampaikan Imam Besar Dr Muhammad Zakuwa Rodzali.

Di SELANGOR, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berangkat menyertai lebih 15,000 jemaah menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. 

Turut berangkat Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Hadir sama di masjid itu ialah Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.

Sebanyak 28 ekor lembu termasuk sumbangan daripada Sultan Selangor dikorbankan dalam ibadah korban di pekarangan masjid itu.

Di KELANTAN, Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra berangkat menyertai ribuan jemaah menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Jamek Al-Ismaili, Bandar Baru Pasir Pekan, Tumpat yang turut disertai Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan barisan kepimpinan negeri.

Di KEDAH, Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Zahir, Alor Setar bersama-sama lebih 2,000 jemaah termasuk Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Setiausaha Kerajaan Kedah Datuk Seri Norizan Khazali.

Di PERLIS, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha bersama-sama lebih 1,200 jemaah di Dataran Istiadat Istana Arau, Arau yang dipimpin Imam Besar Perlis Amnan Muthqa Azanol.

Khutbah Aidiladha bertajuk “Pengorbanan Memajukan Umat Islam” disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Mohd Nazim Mohd Noor.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda baginda berdua Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Di NEGERI SEMBILAN, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berangkat tiba di pekarangan Dewan Awam Tuanku Najihah, Kuala Pilah pada 8.30 pagi bagi menunaikan solat sunat itu. 

Hadir sama ialah Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dan solat sunat itu disertai kira-kira 1,500 jemaah.

Di PAHANG, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat menyertai lebih 1,000 jemaah menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Tengku Ampuan Afzan, Indera Mahkota di Kuantan.

Baginda berdua turut diiringi anakanda termasuk Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Di PERAK, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Sultan Idris Shah II, di Ipoh bersama-sama lebih 1,000 jemaah termasuk Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Turut berangkat Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris A'fifullah Shah.

Di JOHOR, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail berangkat ke Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru bagi menyertai lebih 1,000 jemaah termasuk Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menunaikan solat sunat Aidiladha.

Berangkat sama ialah dua putera baginda Raja Muda Johor Tunku Iskandar Tunku Ismail dan Tunku Abu Bakar Ibrahim Tunku Ismail serta Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.

Di TERENGGANU, Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berangkat ke Masjid Al-Muktafi Billah Shah di Kuala Terengganu untuk menunaikan solat sunat Aidiladha yang turut disertai Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan kepimpinan negeri yang lain.

Di PULAU PINANG, Yang Dipertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib dan isteri Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah menunaikan solat sunat Aidiladha bersama-sama lebih 5,000 umat Islam di Masjid Abdullah Fahim di Bertam, Kepala Batas.

Di MELAKA,  Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin dan Panglima 3 Divisyen Mejar Jeneral Sani S Omar menyertai lebih 2,000 jemaah terdiri daripada anggota tentera dan orang awam menunaikan solat sunat  itu di Masjid As-Syuhada Kem Terendak, Sungai Udang.

Sementara itu, di SARAWAK, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta Speaker Dewan Undangan Negeri Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar menunaikan solat sunat Aidiladha bersama-sama lebih 5,000 jemaah di Masjid Jamek Negeri Sarawak, Petra Jaya.

Di SABAH, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menunaikan solat sunat Aidiladha dengan lebih 1,000 jemaah di Masjid Haji Noor, Kampung Serusup, di Tuaran sebelum menyempurnakan ibadah korban yang diagihkan kepada anggota polis Ibu Pejabat Polis (IPD) Tuaran serta asnaf di daerah tersebut.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement