SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor bersedia memudah cara dan menyegerakan proses urusan tanah bagi pembinaan Hospital Awam Petaling Jaya oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata pembinaan fasiliti itu dijangka memberi manfaat penduduk di daerah Petaling, khususnya di kawasan Petaling Jaya, Subang Jaya dan Puchong.
Beliau berkata bagi usaha itu, KKM, agensi dan pegawai kerajaan negeri termasuk Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Pejabat Daerah dan Tanah Petaling serta Majlis Bandaraya Petaling Jaya akan melaksanakan lawatan tapak pada minggu ini.
“Kerajaan negeri menyambut positif pemaklumkan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkenaan persetujuan lokasi tapak yang dicadangkan untuk pembinaan Hospital Awam Petaling Jaya.
“Keputusan ini susulan daripada mesyuarat penyelarasan terkini pada 14 Mei melibatkan agensi Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Amirudin berkata lokasi tapak Hospital Awam Petaling Jaya yang dimaklumkan KKM amat bertepatan dengan keperluan penduduk Petaling Jaya, terutamanya dari segi akses, kapasiti, kos tanah dan jarak yang berdekatan dengan penduduk tempatan.
Beliau berkata lokasi itu membolehkan Hospital Awam Petaling Jaya dengan kapasiti 500 katil dapat didirikan dengan konsep vertikal seperti yang dilaksanakan Hospital Ampang tanpa perlu bergantung kepada tanah yang terlalu luas serta akan mengoptimumkan kos KKM.
“Usaha mencari tapak bagi Hospital Awam Petaling Jaya telah digerakkan secara lebih aktif oleh kerajaan negeri sejak 2018 dengan mengambil kira peningkatan penduduk di daerah Petaling yang kini mencecah 2.3 juta.
“Di Petaling Jaya sahaja terdapat lebih 800,000 penduduk. Sehingga kini, penduduk sekitar daerah Petaling bergantung kepada Hospital Sungai Buloh, Hospital Shah Alam dan Pusat Perubatan Universiti Malaya yang diuruskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT),” katanya.
Amirudin berkata pada masa yang sama, kerajaan negeri bekerjasama rapat dengan KKM untuk mengatasi isu akses dan kesesakan hospital awam di kawasan lain seluruh Selangor.
Terdahulu, sebuah portal dalam talian melaporkan tapak seluas enam hektar di Taman Medan, Petaling Jaya yang menempatkan sebuah kompleks sukan moden, mampu menyelesaikan keperluan mendesak pembinaan sebuah hospital awam bagi keperluan penduduk yang berkepadatan tinggi di koridor Petaling Jaya-Subang-Puchong.
-- BERNAMA