KUALA LUMPUR: Rasuah di negara ini tidak dapat dibanteras secara berkesan tanpa kepimpinan yang tegas serta ‘political will’ yang jelas dan tidak berkompromi.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, kesimpulan itu dibuat berdasarkan pengalaman lebih empat dekad dalam bidang penguatkuasaan dan pencegahan rasuah.
Menurutnya, pendekatan berasaskan undang-undang semata-mata tidak mencukupi untuk menghapuskan gejala berkenaan.
“Selepas lebih 42 tahun dalam bidang ini, saya dapat merumuskan bahawa rasuah tidak boleh dihapuskan hanya melalui undang-undang.
“Ia memerlukan kepimpinan yang tegas dan tidak berkompromi, disokong penguatkuasaan yang konsisten serta menyeluruh.
“Selain itu, kerjasama erat antara agensi kerajaan dan sektor swasta amat penting, di samping usaha berterusan meningkatkan kesedaran masyarakat untuk menolak rasuah dan mengamalkan integriti,” katanya ketika berucap pada program Wacana Ilmiah Perdana, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan kejayaan sesuatu sistem bukan ditentukan oleh kekuatan undang-undang semata-mata, sebaliknya bergantung kepada kepimpinan yang mempunyai ‘political will’ yang jelas dan berpendirian tegas.
Katanya, walaupun sistem yang ada belum sempurna, usaha reformasi dan penambahbaikan tadbir urus tetap boleh dilaksanakan di bawah kepimpinan sedemikian.
Sebagai contoh, beliau merujuk kepada pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, sebagai langkah komprehensif dalam memperkukuh integriti dan tatakelola negara.
“Ia merupakan kerangka utama negara yang bersifat dinamik, bertujuan memperkukuh integriti, meningkatkan tadbir urus serta mencegah rasuah secara menyeluruh.
“Namun, jika kepimpinan lemah atau berkompromi, sebaik mana pun sistem yang dibangunkan, ia tetap tidak akan berjaya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kepimpinan yang berintegriti bukan lagi satu pilihan, sebaliknya keperluan asas bagi memastikan usaha pembanterasan rasuah berada di landasan yang tepat.