Skip to main content

Malaysia

Rakyat Malaysia tidak perlu berpusu-pusu tukar MyKad baharu pada 1 Jun - Saifuddin

PROGRAM CITRA NEGARA YB MENTERI DALAM NEGERI - TINJAUAN PENGOPERASIAN DI RTS LINK JOHOR BAHRU-SINGAPURA JOHOR BAHRU, 8 Mei 2026 – YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri hari ini melakukan tinjauan ke tapak Projek RTS Link Johor Bahru–Singapura di Bukit Chagar, bagi melihat tahap kesiapsiagaan fasiliti kawalan sempadan negara menjelang operasi penuh yang dijadualkan bermula pada 31 Disember 2026.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak berpusu-pusu ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada hari pertama pelaksanaan. - Foto FB Kementerian Dalam Negeri

JOHOR BAHRU: Rakyat Malaysia tidak perlu tergesa-gesa menukar MyKad sedia ada kepada versi baharu yang akan diperkenalkan bermula 1 Jun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tiada peruntukan yang mewajibkan pemegang kad pengenalan lama menukar MyKad mereka secara serentak sebaik sahaja versi baharu diperkenalkan.

“Undang-undang mengatakan setiap rakyat Malaysia apabila berumur 12 tahun wajib memiliki MyKad.

"Tetapi undang-undang tidak menyatakan mulai 1 Jun apabila MyKad baharu dikeluarkan, pemegang MyKad lama wajib terus menukar kad mereka,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja ke Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Stesen Bukit Cagar, di sini, pada Jumaat.

Tambah Saifuddin, ketika ini terdapat lebih 20 juta rakyat Malaysia memiliki MyKad, justeru orang ramai dinasihatkan supaya tidak berpusu-pusu ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada hari pertama pelaksanaan.

Difahamkan MyKad baharu akan dilengkapi 53 ciri keselamatan berbanding hanya 23 ciri pada MyKad sedia ada, termasuk turihan laser, ultraungu, hologram, guilloche, teks mikro dan kod respons pantas (QR) bagi penguatkuasaan serta cip dengan tahap enkripsi dipertingkatkan.

Must Watch Video