PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menggempur sebuah kawasan dipercayai menjadi tumpuan warga asing di Menara Paragon di sini, menerusi operasi bersepadu melibatkan pemeriksaan terhadap 16 premis perniagaan malam tadi.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata operasi dijalankan susulan aduan awam serta risikan selama seminggu, yang menumpukan kepada pemeriksaan terhadap premis menjual makanan, kios, pusat jualan serta premis perniagaan di sekitar kawasan berkenaan yang disyaki menggaji dan melindungi warga asing tanpa kebenaran.
"Sebanyak 105 warga asing dan 89 warga tempatan telah diperiksa dalam operasi ini. Hasil pemeriksaan, sebanyak 13 warga asing terdiri daripada warga Sudan, India, Pakistan, Nepal, Myanmar dan Indonesia berumur 26 hingga 35 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963," katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata satu Borang 29 saman kepada saksi turut dikeluarkan kepada seorang warga Malaysia bagi membantu siasatan.
Beliau berkata semua warga asing yang ditahan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Menurut Zakaria, operasi itu dilaksanakan dengan kekuatan 83 pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Penguatkuasaan JIM bersama 15 pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Beliau berkata ia sebagai komitmen berterusan JIM dalam membenteras aktiviti menyalahi peraturan serta memastikan kedaulatan undang-undang negara terus dipelihara tanpa sebarang kompromi.
Zakarian berkata JIM tidak berkompromi sama sekali terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas di negara ini, manakala tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi pendatang tanpa izin.
-- BERNAMA