Skip to main content

Malaysia

RIMBUN 2.0 platform himpun idea perkukuh kedaulatan ekonomi negara - Ahmad Zahid

FB Zahid Hamidi
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyambut baik penganjuran program RIMBUN 2.0 oleh Pemuda UMNO Malaysia yang disifatkan sebagai platform penting menghimpunkan pandangan dan idea untuk memperkukuh kedaulatan ekonomi negara.

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyambut baik penganjuran program RIMBUN 2.0 oleh Pemuda UMNO Malaysia yang disifatkan sebagai platform penting menghimpunkan pandangan dan idea untuk memperkukuh kedaulatan ekonomi negara.

Menerusi hantaran di laman Facebook hari ini, beliau berkata rakyat ketika ini mahu melihat perbahasan dan wacana yang mengetengahkan idea segar serta keberanian mengupas agenda dan penyelesaian yang mampu memberi manfaat kepada negara dan generasi akan datang.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata program tersebut menghimpunkan pelbagai pandangan, idea dan kepakaran di satu meja rundingan demi memperkukuh kedaulatan ekonomi negara.

“Rakyat hari ini mahu melihat perbahasan atau wacana yang membincangkan idea segar, keberanian mengupas agenda dan pencarian solusi yang benar-benar mampu memberi manfaat kepada negara serta masa depan generasi akan datang.

“Saya menyambut baik usaha Pemuda UMNO Malaysia menganjurkan RIMBUN 2.0 yang membawa tema ‘Satu Meja. Pelbagai Perspektif. Satu Matlamat: Kedaulatan Ekonomi Negara’,” katanya.

Beliau berkata RIMBUN 2.0 turut melibatkan penyertaan tokoh, golongan profesional, mahasiswa, usahawan dan anak muda untuk berkongsi pandangan serta bersama-sama membina masa depan negara.

“Saya percaya, masa depan ekonomi negara tidak boleh dibentuk tanpa suara dan penglibatan generasi muda,” kata beliau.

Ahmad Zahid turut mempelawa orang ramai  untuk hadir ke program berkenaan yang akan berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) esok.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video