Skip to main content

Malaysia

Raja Perlis titah ATM perkukuh kedaulatan, utamakan kebajikan anggota

Tuanku Syed Sirajuddin (kanan) menerima menghadap Panglima ATM, Malek Razak Sulaiman di Istana Arau, pada Isnin. Turut berangkat, Tuanku Syed Faizuddin. - Foto Istana Arau
Tuanku Syed Sirajuddin (kanan) menerima menghadap Malek di Istana Arau, pada Isnin. Turut berangkat, Tuanku Syed Faizuddin. - Foto Istana Arau

ARAU: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah agar setiap inci kedaulatan wilayah negara terus dilindungi dan dipertahankan daripada sebarang ancaman, sambil menegaskan kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu memberi keutamaan terhadap peningkatan taraf hidup serta kesiapsiagaan anggotanya.

Baginda bertitah, sistem komunikasi, peralatan dan aset pertahanan negara perlu dinaik taraf secara berterusan bagi memastikan kecekapan operasi sentiasa berada pada tahap optimum.

Titah baginda, penyediaan kediaman yang kondusif untuk anggota serta keluarga, selain semakan dan penambahbaikan elaun kebajikan ekonomi warga ATM, juga harus diberi perhatian serius dari semasa ke semasa.

“Pertahanan negara bukan sahaja bergantung kepada aset moden, tetapi turut bergantung kepada kesejahteraan fizikal, mental dan ekonomi anggota,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan menerima sembah menghadap Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman di Balai Menghadap Biru, Istana Arau di sini, pada Isnin.

Turut berangkat, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Pasukan Simpanan Tentera Darat Malaysia.

Majlis menghadap itu mencerminkan hubungan erat dan berterusan antara institusi Diraja Perlis dengan kepimpinan tertinggi ATM dalam memperkukuh kestabilan negara serta mendepani cabaran keselamatan semasa dan masa hadapan.

Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Khairul Azmizal Ahmad Natal; Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Zamsari Abu Hasan serta Panglima 30, Briged Brigedier Jeneral Datuk Mohd Zaini Hashim.

Dalam majlis sama, Tuanku Syed Sirajuddin yang juga Kolonel Yang Dipertua Kor Rejimen Renjer Diraja dan Kor Polis Tentera Diraja Malaysia, turut berkongsi pengalaman peribadi baginda sebagai pegawai tentera ketika negara berdepan insurgensi komunis, Konfrontasi Indonesia-Malaysia serta Peristiwa 13 Mei 1969.

Must Watch Video