SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang Muhammad Hilman Idham (PN-Gombak Setia) diarah keluar daripada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dan digantung dua hari bermula hari ini, selepas mengingkari arahan Speaker DUN Lau Weng San.
Lau mengeluarkan arahan itu apabila Muhammad Hilman tidak menghiraukan arahannya untuk duduk selepas Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaludin selesai menjawab pertanyaan lisan yang dikemukakan beliau berhubung potensi pendapatan baharu negeri melalui sumber tenaga boleh diperbaharui.
Kekecohan bermula apabila Muhammad Hilman bangkit untuk meminta kebenaran mengemukakan soalan tambahan bagi isu tersebut sebelum Lau mengarahkan beliau untuk duduk namun tidak dihiraukannya.
Lau kemudian mengarahkan Muhammad Hilman untuk keluar dan digantung dua hari hingga esok.
-- BERNAMA