KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menitahkan agar Banjaran Nakawan terus dipelihara sebagai “Nadi Bumi Perlis” yang melambangkan keindahan alam semula jadi serta kekuatan warisan negeri yang amat bernilai untuk generasi kini dan masa depan.
Baginda bertitah, usaha pemuliharaan dan pembangunan lestari kawasan berkenaan perlu diperkukuhkan agar mampu memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat, selain mengangkat Perlis sebagai destinasi eko-pelancongan bertaraf dunia.
Titah tersebut dizahirkan menerusi teks ucapan yang dibacakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mewakili baginda sempena Majlis Pelancaran Penerbitan dan Dokumentari “NAKAWAN – The Living Soul of Perlis / Nadi Bumi Perlis” di sini.
Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan baginda berdua disambut Pengerusi Eksekutif MY-US Group, Datuk Nellsen Young; Ketua Projek penerbitan dokumentari berkenaan, Peter Ong serta Pengarah Promosi Antarabangsa Tourism Malaysia, Baizuri Baharum.
Dalam pada itu, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, dokumentasi seperti ini memainkan peranan penting dalam memastikan warisan ilmu serta kisah berkaitan Banjaran Nakawan terus direkod dan diwarisi oleh generasi akan datang.
Baginda turut menzahirkan penghargaan terhadap penerbitan buku dan dokumentari tersebut yang bukan sahaja menampilkan keindahan alam Perlis, malah meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap nilai sebenar Banjaran Nakawan sebagai khazanah negeri.
Majlis itu dianjurkan Smart Leisure Travels dengan kerjasama pelbagai rakan strategik termasuk The Habitat Foundation, Sustainable Tourism Network, Perlis Nature Xplorer serta Jabatan Perhutanan Negeri Perlis.
Dokumentari “NAKAWAN – The Living Soul of Perlis / Nadi Bumi Perlis” merupakan projek yang mengetengahkan kepentingan Banjaran Nakawan sebagai nadi ekosistem dan warisan sosiobudaya negeri.
Diterbitkan oleh Roots & Shoots Malaysia, dokumentari itu menelusuri perjalanan sepanjang 36 kilometer banjaran batu kapur tertua di Malaysia, bermula dari Wang Kelian hingga ke Kuala Perlis.
Ia turut memaparkan kisah kehidupan masyarakat setempat, tradisi warisan serta keunikan landskap semula jadi di sekitar banjaran tersebut.
Dalam masa sama, Tuanku Syed Sirajuddin menzahirkan tahniah kepada semua pihak yang menjayakan projek itu termasuk Peter Ong, Syamil Abd Rahman, Myles Storey, Adam Hogg, Jennifer P. Linggi serta pemimpin komuniti tempatan.
Baginda turut merakamkan penghargaan kepada organisasi yang menyokong inisiatif berkenaan seperti Roots & Shoots Malaysia, The Habitat Foundation, Sustainable Tourism Network of Malaysia, Kementerian Kewangan, Yayasan Hasanah, Manulife Malaysia dan Canon Malaysia.
Pujian turut diberikan kepada Perlis Nature Explorers, komuniti Kaki Bukit, Kuala Perlis dan Timah Tasoh serta Jabatan Perhutanan Negeri Perlis atas komitmen berterusan dalam memelihara khazanah alam dan warisan negeri.